Buletin TV3

FOTO: AFP
TORONTO: Buat pertama kali dalam sejarah, bendera Palestin dikibarkan di luar Dewan Bandaraya Toronto, susulan keputusan kerajaan persekutuan Kanada mengiktiraf negara Palestin September lalu.
Kanada sebelum ini bersama beberapa kuasa Barat seperti Britain dan Perancis mengiktiraf negara Palestin ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekaligus menjadi langkah yang mencetuskan kemarahan Israel serta Amerika Syarikat.
Pengibaran bendera itu diadakan selepas sebuah kumpulan masyarakat sivil, International Center of Justice for Palestinians, berjaya membuat petisyen agar majlis itu dianjurkan yang disifatkan sebagai “solidariti simbolik.”
Kerajaan bandar Toronto memaklumkan permohonan itu diluluskan kerana bendera berkenaan kini memenuhi syarat selepas Ottawa mengiktiraf “Negara Palestin pada 21 September 2025.”
Menurut pihak bandar, dalam mematuhi peraturan, bendera itu akan diturunkan semula pada hari sama.
Majlis itu bagaimanapun berdepan beberapa cubaan untuk dihentikan sebelum ini.
Ahli majlis bandar Toronto, James Pasternak, minggu lalu menggesa pihak bandar menarik balik keputusan yang kononnya disifatkan sebagai memecahbelah dan tidak berasas.
Dalam pada itu media AFP dimaklumkan, seorang individu ditahan atas kesalahan menyerang, namun tidak memberikan butiran lanjut mengenai suspek.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan