"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Panik! Rakan mereka lemas di sebuah takungan air lalu letak mayat rakan atas katil seolah-olah dia sedang tidur

Agensi

Beijing: Dua lelaki dari sebuah kampung di barat daya China berdepan kritikan hebat selepas menyaksikan rakan mereka lemas di sebuah takungan air apabila tidak memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, lapor South China Morning Post.

Sebaliknya, mereka membawa pulang mayat mangsa dan meletakkannya di katil seolah-olah dia sedang tidur.

Tragedi berlaku pada 4 September di wilayah Sichuan apabila lelaki berusia 38 tahun itu dijemput oleh seorang penduduk kampung dan bapa saudaranya untuk berenang di takungan air berhampiran, sebelum lemas.

Adik perempuan mangsa baru-baru ini menceritakan kejadian itu kepada portal media China, Lizhi News yang mana pendedahan itu mengejutkan komuniti dalam talian.

Salah seorang daripada individu itu yang dikenali sebagai Tao mengaku bahawa mereka panik dan tidak menghubungi bantuan perubatan atau polis sebaliknya memilih untuk membawa mayat itu pulang ke rumah dengan motosikal.

Tao dan seorang lagi rakannya dikatakan membawa mayat itu pulang secara senyap-senyap dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang laluan menunjukkan kedua-dua lelaki itu menunggang motosikal dengan si mati diapit di antara mereka.

Lelaki di belakang memegang leher si mati dan cuba menegakkannya semasa dalam perjalanan pulang.

Setibanya di rumah, mereka meletakkan mayat itu di atas katil, dan beredar tanpa memberitahu keluarganya.

Keluarga mangsa hanya mengetahui bahawa mangsa sudah meninggal dunia selepas tiga hari kemudian.

Adik perempuan mangsa menyatakan bahawa dalam tempoh tiga hari itu, kedua-dua lelaki itu berjumpa dengan beberapa ahli keluarga tetapi memilih untuk tidak mendedahkan tragedi berkenaan.

Walaupun pihak berkuasa menolak unsur jenayah dan memutuskan bahawa kedua-dua lelaki itu tidak menanggung sebarang tanggungjawab jenayah, peguam Jin Yan menyatakan mereka masih perlu bertanggungjawab dan perlu membayar pampasan.

Tao mengakui bahawa mereka menawarkan 80,000 yuan (kira-kira RM52,000) untuk kos pengebumian melalui pengantaraan pihak berkuasa kampung dan mengakui perbuatan itu adalah salah.
-Hmetro 

Tiada ulasan: