"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan warga emas disyaki berkhalwat dicekup kali kedua

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
PASANGAN warga emas ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Lubok China, malam tadi. FOTO Tular.
PASANGAN warga emas ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Lubok China, malam tadi. FOTO Tular.
Alor Gajah: Cinta di usia senja membawa padah apabila pasangan warga emas yang pernah ditahan kerana disyaki berkhalwat, sekali lagi dicekup dalam serbuan di rumah lelaki berusia 81 tahun di Lubok China, di sini, malam tadi.

Serbuan kira-kira jam 10 malam itu dilakukan oleh imam, ketua kampung, anggota polis serta penduduk kampung selepas menerima aduan mereka sering dilihat berdua-duaan.

Menurut sumber, lelaki terbabit yang baru kehilangan isteri bulan lalu dikatakan kerap membawa wanita berusia 69 tahun dari kampung lain itu untuk keluar bersama, sebelum akhirnya dicekup di rumahnya sendiri.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal menunjukkan dokumen sah pernikahan.

"Sebelum ini pun, pasangan sama pernah ditahan di rumah wanita berkenaan.

"Mereka dikatakan pernah merancang untuk bernikah, namun tidak menjadi kenyataan selepas wanita berkenaan didakwa mengalami gangguan mental ringan," katanya.

Pasangan itu kini disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, pihaknya hanya membantu aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini semasa operasi dilakukan.

Terdahulu, gambar serbuan terbabit turut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Difahamkan semua yang terbabit dalam serbuan itu akan dipanggil ke pejabat agama esok untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: