"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rais Yatim : Berkhidmat Dari Tun Razak Hingga Najib


 Semi Autobiografi si Pembakar Jambatan


KATA Rais Yatim rahsia kenapa dia masih boleh kekal dalam Kabinet dan mampu berkhidmat dengan lima perdana menteri ialah kerana beliau tidak memijak kepala orang. Maksudnya beliau tidak jahat dalam politik, tidak ada permainan jatuh menjatuh, fitnah memfitnah dan adu domba. Sebaliknya beliau lebih tegas dan menumpukan kepada kerja. Dia juga tidak mencampuradukkan antara tujuan dengan politik yang kotor.
Bagus sungguh Rais Yatim ini.

Betulkah Rais Yatim tidak pijak kepala orang? Mungkin betul? Tidak terdengar Rais Yatim pijak mana-mana seteru politiknya. Mungkin tragedi politik yang menimpa bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mukhtar Hahsim yang dituduh membunuh Datuk Taha 30 tahun lalu tidak ada kena mengena dengan Rais!

Peristiwa ini hanya Mukhtar Hahshim saja boleh menceritakan sejauh mana terlibat ataupun tidaknya si Rais Yatim yang mana ketika itu mereka berdua merupakan pesaing politik utama di Negeri Sembilan.
Rais ada ilmu dan caranya tersendiri. Politiknya sangat licit dan membelut.

Kalau tidak licit dan lincah masakan orang yang sudah berada di luar Umno, menentang Umno tetapi bolah tercokol semula dalam parti itu dan menjadi menteri. Tentulah dia ada penawar tersendiri.

Cara Rais masuk ke dalam Umno dan bertukar parti lebih lunak dan bergaya daripada orang-orang yang seoportunis dengannya. Kejahatan Rais dalam politik tidak terkesan oleh sesiapa. Bayangkan orang yang telah membakar jambatan tetapi boleh terus menyeberangi sungai yang arusnya deras dan airnya dalam. Itu satu kehebatan kan?
Barang kali orang hairan dan kagum dengan Rais bagaimana dia boleh masuk semula dalam Umno Bahagian Jelebu. Bagaimana dia kecek ketua bahagian Yunus Rahmat agar memberi dia laluan bertanding kerusi parlimen Jempol tahun 1999.

Entah Rais pakai cendui ataupun jampi serampah apa menyebabkan Yunus Rahmat lembut hati dan menyerahkan kerusi begitu mudah kepada Rais?

Sebagai balasannya Rais hanya melantik Yunus Rahmat sebagai setiausaha politiknya kemudian pegawai di kementerian disandangnya, itu saja.

Saya setuju sangat kalau Rais kata dia tidak pijak kepala orang untuk melonjak dalam politik. Kepala Yunus pun dia tidak pernah langkah. Sebaliknya Yunus atas kepercayaan kerana terpukau atas kepetahan bicara politiknya menyerah kepalanya untuk dilangkau oleh Rais.
Satu kelebihan ada kepada Rais ialah pandai bodek (ampuisme), rayu dan pujuk.
Dia menggunakan kepetahan bahasa adat pepatihnya untuk memukau orang. Itulah jampi serampahnya memuji si ketua sehingga ketua lena dan terlupa kejahatannya. Cara Rais berpolitik macam maling yang pandai memukaulah... mulanya dia kecek tuan rumah bila tuan rumah terpengaruh dia masuk rumah kebas habis semua barang.

Cerita Rais pandai dan bijak membodek menggunakan ayat-ayat berjiwa ini memang terkenal di kalangan ahli politik Umno. Orang teruja dengan Rais kerana bahasa dan intonasi suaranya. Ucapannya juga boleh memukau sehinggakan yang benar jadi salah, yang salah jadi benar.

Tahun 1987 dialah yang dikatakan menjadi juara memujuk Tengku Razaleigh Hamzah supaya menubuhkan parti Semangat 46. Dialah yang membodek dan memberi baja kepada Tengku Razaleigh. Dialah orang utama yang menjadi pemukaunya.

Bacaan politiknya ketika itu Semangat 46 boleh menjadi alternatif kepada Umno. Rais sudah mengira kalau Semangat 46 menang dialah yang akan jadi timbalan perdana menteri. Dalam Semangat 46 dia adalah timbalan presiden. Walhal pengorbanannya untuk parti itu tidak ada apa-apa dan modalnya hanya air liur saja.

Selepas Rais menyedari Semangat 46 tidak akan pergi ke mana, dialah yang menjampi Tengku Razaleigh supaya bubar parti berkenaan. Ramai-ramai menyertai Umno. Entah mentera apa yang Rais gunakan akhirnya Tengku Razaleigh bersetuju untuk bubar Semangat 46. Dipercayai Rais sudah berunding dengan Mahathir sebelum meminta Tengku Razaleigh membubarkan Semangat 46.

Tengku Razaleigh tanpa banyak cerita terus membubarkan Semangat 46 kemudian menyertai Umno. Maka terlenggaklah Tengku Razaleigh kerana ingat dia akan dipanggil masuk dalam Kabinet. Tunggu punya tunggu buah tidak gugur-gurur! Walhasil balik asalnya pada tahun 1999, Rais Yatim yang dibawa masuk ke dalam Kabinet oleh Mahathir, manakala Tengku Razaleigh hanya menguah di luar macam kerbau rabit hidung sahaja.

Apa lagi setelah dapat menjadi ahli Kabinet semula, lena dan kenyanglah Rais di dalam Umno. Perhubungan dengan Tengku Razaleigh pun sudah menjauh. Kalau boleh Tengku Razaleigh pun tidak nak disebut dan dikenang lagi bimbang takut terkena tulah.

Pujaan dan tokoh idola Rais selepas itu ialah Mahathir. Segala dasar dan polisi Mahathir yang dikecam semasa Semangat 46 dimansuhkan semuanya. Kritikan yang dilemparkan ke atas Mahathir sebelum ini bagaikan di laku sewaktu sawannya menjelma. Seolah Rais tidak sedar.

Apabila Abdullah Badawi mengambil alih jawatan PM dari Mahathir, maka kiblat penyanjungan Rais berpidah pula kepada Abullah. Berasap dipuja dan dipuji Abdullah Badawi. Kelemahan Abdullah ditasifrkan sebagai berhemah, sedarhana dan itulah kelebihan yang ada kepada Abullah. Bahasa dan bidalan perpatih sekali lagi dijadikan alat untuk memuji dan mengangkat Abdullah setinggi langit biru. Hasilnya Abdullah terus memberi kerja kepada Rais sebagai menteri.

Apabila beliau sudah menyedari Najib Razak sudah mula merangkak untuk naik dan menelan Abdullah, Rais mula bercakap beralih fesyen. Cakap-cakapnya mula menyindir dan menyinis kerajaan. Kelemahan dalam Umno juga digembar gemburkan. Umno perlu perubahan dan Melayu perlu diperkuatkan. Secara simbolik apa yang diucap dan disarankan Rais itu untuk membaham Abdullah.

Lalu Najib pun menjadi idola baru Rais. Najib mula diberi perhatian orang yang boleh melanjutkan survive politiknya. Hilanglah Abdullah seperti mana menjauhnya Tengku Razaleigh dari dirinya. Itulah sikap dan stail Rais.

Seperkara lagi Rais juga seorang yang rela membatalkan ikrarnya sendiri. Dia sanggup menafikan tesis Phdnya sendiri untuk menghalalkan tindakan menyertai Umno. Bayangkan bagaimana ketegasan dan berprinsipnya seseorang itu kalau sampai sanggup untuk menafikan tesisnya sendiri semata-mata kerana ingin rujuk semula kepada parti yang dicaci dan dimakinya.

Selain dari itu satu lagi kekuatan Rais ialah isterinya, Masnah Rais. Peranan Masnah dalam kerjaya politik Rais cukup penting. Bahkan kejayaan Rais menjadi menteri semula adalah hasil usaha isterinya. Isterinyalah yang beriya mahukan Rais menyertai semula Umno dan dilantik menjadi menteri.

Hubungan Masnah dengan isteri PM atas kapasiti ahli Bakti – isteri menteri dan bekas menteri digunakan Masnah untuk melobi suaminya. Masnah dikatakan baik dengan Siti Hasmah dan aruwah Hendon Mahmod. Cerita bagaimana Masnah melobi untuk suaminya diketahui oleh semua ahli-ahli Bakti!

Dan Rais pula bila berdepan dengan Masnah tidak bisa berbuat apa-apa melainkan kena ikut dan turut saja. Bahasa pepatihnya juga hilang tiba-tiba bole berhadapan dengan Masnah.

Itulah kehebatan dan modal besar yang ada kepada Rais. Disamping beliau tidak memijak kepala orang, isteri dan daya bodek yang ada kepadanya cukup ampuh dan itulah meletakkan beliau ditempat hari ini. Makanya ampuisme adalah antara model penting yang harus ada kepada ahli politik yang ingin berjaya! 

Tiada ulasan: