"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MELENTUR NEGARA BIAR DARI KABINETNYA

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, piagam Najib -- rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan; kerajaan tidak akan mengawal secara keterlaluan dan tidak akan bersikap ”kerajaan lebih tahu”, lunyai dirobek oleh timbalannya dan juga seorang menteri kanannya.

Mengapa jadi begini? Jika antara perdana dengan timbalannya dan seorang menteri kanan bercakap dan bertindak secara sendiri-sendirian, bagaimana hendak bina Satu Malaysia jika dalam satu kabinet pun tidak bersuara dan bertindak satu?

3 April 2009: Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik Perdana Menteri Malaysia keenam Dalam ucapan sulongnya malam itu beliau mengisytiharkan piagam pemerintahannya -- rakyat didahulukan pencapaian diutama.

9 April 2009: Najib Razak mengumumkan kabinet barunya. Dalam sidang itu beliau mengisytiharkan doktrin baru bagi pemerintahannya bahawasanya zaman  kawalan pemerintah yang keterlaluan dan pemikiran kerajaan sentiasa lebih tahu, sudah berlalu.

Langkah ini adalah khusus untuk mengukuhkan persepsi yang hendak dibina Najib bahawa kerajaannya akan lebih liberal dan akan lebih banyak mendengar pandangan rakyat. Dalil tindakannya ialah, pada hari pertama mengambil alih pemerintahan beliau telah membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Najib menjunjung harapan bahawa pengumumannya itu akan memujuk agar lebih cepat percaya dan menyokong kerajaan barunya. Sekaligus tindakannya itu adalah pengakuan bahawa kerajaan-kerajaan sebelumnya “kurang mendengar” dan “sentiasa yakin pada kebolehannya hingga ke tahap angkuh” kerana ia lebih tahu “apa yang terbaik untuk rakyat”.

Najib menegaskan konsep ini diperkenalkan demi mewujudkan ”Satu Malaysia”.

12 April 2009: Timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara dengan akhbar tempatan menegur rakyat keturunan Cina di Bukit Gantang yang tidak bersyukur kerana tidak menyokong Barisan Nasional.

Ini menyinggung perasaan rakyat dan parti-parti politik Cina di negara ini. MCA dan Gerakan dan DAP bingkas bangkit menegur Timbalan Perdana Menteri yang memang terkenal kurang senyum ini.

12 April 2009: Menteri berkelulusan doktor falsafah undang-undang yang bertanggungjawab untuk mengharmonikan komunikasi, penerangan dan kebudayaan di antara rakyat dengan kerajaan; di antara parti politik dengan rakyat dan di antara rakyat dengan rakyat, memberi mengeluarkan amaran bahawa undang-undang akan digunakan ke atas pemblog yang memutar-belit fakta dalam tulisan mereka.

Menteri itu, Rais Yatim berkata, kementeriannya akan menjadi badan penyiasat dan akan membina satu mekanisme untuk menentukan apa yang dikatakan putar belit fakta dan akan mengheret pemblog yang terbabit ke muka keadilan. Ini semua untuk kepentingan rakyat. Maknanya, kerajaan (atau sekurang-kurangnya Kementerian pimpinannya) lebih tahu apa yang baik untuk rakyat.

Katanya, rakyat perlu mendapat maklumat tepat mengenai sesuatu isu. Barulah dengan maklumat itu rakyat boleh mengatur langkah bersama kerajaan untuk membina negara dan mencapai kebahagian. Sebarang tindakan yang tergelincir daripada susila itu adalah jahat dan mesti dikenakan tindakan undang-undang.

14 April 2009: 10 Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu dari Barisan Nasional tidak hadir sidang. Alasan yang diberikan ialah kerana ada ugutan terhadap mereka melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Timbalan perdana menjelaskan mereka hanya tidak hadir dan bukan boikot sidang.

Malangnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah pimpinan Rais Yatim langsung tidak melaporkan berita aneh itu (sekurang-kurangnya bagi rakyat Terengganu); begitu juga komen Perdana Menteri dan Timbalannya.

Bila Rais ditanya mengapa RTM bertindak demikian, beliau berkata itu hak RTM sebagai sebuah stesen.

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, piagam Najib, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan; kerajaan tidak akan mengawal secara keterlaluan dan tidak akan bersikap ”kerajaan lebih tahu” lunyai dirobek oleh timbalannya dan juga seorang menteri kanannya.

Mengapa jadi begini? Jika antara perdana dengan timbalannya danseorarng menteri kanan bercakap dan bertindak secara sendiri-sendirian, bagaimana hendak bina satu Malaysia jika dalam satu kabinet pun tidak bersuara dan bertindak satu?

Jika najib ikhlas hendak memimpin satu malaysia, dia perlu melakukan sesuatu terhadap rakan kabinet yang tidak tidak sehaluan dengannya. Kata orang jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika hendak membentuk negara mestilah dari kabinetnya.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: