KEDUDUKAN Ahmad Said sebagai MB Terengganu kini tidak selamat lagi. Tindakan 10 Adun BN yang bertindak memulaukan sidang Dewan hari ini menjelaskan mereka sudah hilang kepercayaan kepada Mat Said. Mat Said harus faham dengan tindakan mereka itu dan tidak payah mencari pentafsir politik untuk membela diri sendiri.
Sepuluh Adun BN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari kedua hari ini ialah; Adun Paka, (Zakaria Abdullah), Adun Permaisuri, (Abdul Halim Jusoh), Adun Tepoh, (Muhammad Ramli Noh), Adun Kuala Berang, (Mohd Zawawi Ismail), Adun Bukit Besi, (Din Adam), Adun Alor Limbat, (Alias Abdullah), Adun Jabi, (Ramlan Ali), Adun Kota Putera, (Pemehi Yusuf), Adun Jertih, (Idris Jusoh) dan Adun Ajil (Rosol Wahid).
Apabila mereka keluar atau tidak menghadiri Dewan bermakna mereka tidak yakin kepada menteri besar. Mereka tidak menghormati Mat Said lagi. Kalau mereka yakin mereka tidak akan berbuat begitu.
Kata ketua pasukan pemulau itu, Rosol Wahid mereka pulau dewan kerana bimbang dengan keselamatan nyawa mereka. Sebelum itu beberapa orang dari mereka ada menerima satu SMS yang mengancam nyawa mereka, yang berbunyi; baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?
Masalannya kalau hanya tiga Adun saja yang hendak dibunuh, tetapi kenapa yang tujuh lagi tidak pergi sama - hadir Dewan? Apa yang berlaku ini tidak payah berselindung dan susuk sembunyi lagi. Jelas mereka yang tidak hadir dewan itu kerana tidak suka kepada Menteri Besar, bukan sangat kerana bimbangkan keselamatan nyawa mereka.
Kalau mereka suka, senang dengan Mat Said, usahkan diugut kalau dihunus keris sekali pun mereka akan langgar. Bukankah orang-orang Umno ini semuanya berani dan gagah perkasa belaka. Masakan dengan sepotong ayat sebegitu saja yang entah datang dari mana semuanya sudah menggeletar.
Mana perginya keberanian wakil rakyat BN itu? Kenapa kalau dengan Pas ada yang berani bergadai nyawa dan melakukan apa saja, tetapi kalau dengan sepotong SMS yang entah betul dan entah tidak mereka sudah kecut perut. Sudah hilang telor?
Kumpulan 10 tidak payah berdolak dalih, cakap saja mereka sudah tidak sebulu dengan Mat Said, habis cerita. Senang orang tidak jadi kalut memikir mencari helah dan sebab musababnya. Jangan mencari alasan dangkal dan melucukan. Kisah pertelagahan dalam BN Terengganu ini bukan baru, ia berlaku sejak setahun lalu lagi. Jadi apalah nak diselindungkan tempayan ikan pekasam busuk lagi.
Kepada kumpulan 10 pula kalau benar-benar berani dan tak nak sokong Mat Said apa fikir panjang lagi usah berpura-pura. Kemukakan saja usul undi tidak percaya ke atas Mat Said, habis cerita. Rasanya lapan orang Adun Pas juga akan ikut sama menyokongnya. Kalau Adun Pas sokong jatuh bercelabahlah Mat Said dalam sekelip mata.
Bukan payah sangat kalau nak jatuhkan Mat Said! Lepas itu sapa nak jadi MB bolehlah 10 Adun itu berbincang dengan Adun Pas sebanyak lapan orang itu. Disebabkan Adun BN 10 dan Pas lapan, maka eloklah kalau MBnya diberikan kepada BN yang 10 tu. Seeloknya Rosol Wahid jadi MB.
Walaupun Idris Jusoh bersama kumpulan 10 itu beliau tidak boleh jadi MB kerana pemangku raja Terengganu tidak sedia untuk memberi perkenan kepada Idris Jusoh. Kalau Idris dicalonkan lagi nanti upacara angkat sumpah tidak akan dijalankan.
Lagi pun sejarah menjatuhkan menteri besar Terengganu pernah berlaku di negeri berkenaan. Apakah semangat sejarah itu tidak boleh diterima pakai. Bukan saja MB jatuh kerajaan negeri juga bertukar tangan pada tahun 1961. Apakah kata kalau 10 Adun BN itu bergabung dengan lapan Adun Pas membentuk kerajaan baru. Kerajaan unity government?
Mungkin pelan itu tidak akan berlaku. Tidak mungkin kumpulan 10 itu bersedia bersekongkol dengan Pas. Jadi satu pelan lain boleh dilaksanakan iaitu minta Mat Said bubarkan saja DUN Terengganu untuk membolehkan pilihan raya diadkan semula.
Dalam pilihan raya nanti pastikan Mat Said tidak dicalonkan. Rasanya Pas juga suka kalau diadakan pilihan raya semula. Mustafa Ali boleh bertanding sekali lagi dan boleh berangan-angan untuk jadi Menteri Besar Terengganu.
Bukannya payah sangat cuma memerlukan sedikit saja keberanian!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan