"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Eli setuju kekal ADUN & EXCO Selangor


   

Ahli  Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong akan kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu dan Exco Kerajaan Negeri Selangor. Beliau mula bertugas esok.


Wong mengumumkan keputusannya tidak melepaskan dua jawatan awam itu setelah Jemaah EXCO Kerajaan Negeri Selangor pagi tadi meminta beliau membuat pendirian muktamad berhubung perkara berkenaan.   


Februari lalu,  Wong menawar  untuk meletak jawatan sebagai Exco Pelancongan, Pengguna dan Alam Sekitar Selangor dan ADUN Bukit Lanjan. Beliau kemudiannya bercuti sementara menunggu hasil siasatan polis. 


Wong bertindak demikian setelah beberapa gambarnya dalam keadaan kurang sopan diambil tanpa kebenaran beliau dan disebarkan menerusi Internet oleh pihak tidak bertanggungjawab.


Petang tadi, Wong berkata keputusan muktamadnya untuk terus kekal sebagai ADUN Bukit Lanjan dan EXCO kerajaan negeri diambil selepas menimbang pandangan orang ramai dan rakan seperjuangan.


“Ini adalah keputusan paling sukar bagi diri saya. Dengan perasaan penuh rendah diri saya dengan ini menerima tawaran kerajaan negeri untuk terus memegang  jawatan saya,” Wong berkata dalam satu kenyataan.


“Saya ingin ucapkan terima kaseh kepada Menteri Besar, Exco kerajaan negeri, rakan-rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional… dan akar umbi atas sokongan dan bimbingan mereka,” tambah Wong.


Sepanjang kemelut itu, pelbagai pihak tampil dengan pendirian apa yang dihadapi Wong adalah masalah peribadinya dan satu bentuk  pencerobohan hak individu.


Justeru itu ramai pihak berpendirian bahawa isu itu tidak harus dikaitkan dengan prestasi dan kewibawaaan Wong sebagai wakil rakyat dan  EXCO Kerajaan Negeri.


Pagi tadi,  Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pendirian Jemaah EXCO  memberi ruang kepada Wong menentukan statusnya dalam kerajaan negeri adalah adil. Ini kerana ia mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan hakikat bahawa siasatan polis belum mencapai hasil muktamad.


Tan Sri Khalid berkata EXCO Kerajaan Negeri sebulat suara bersetuju isu berkenaan  membabitkan, antara lain,  persoalan moral dan pencerobohan hak individu.


"Jika ada bukti-bukti kukuh, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya. Namun demikian, pendirian ini juga harus diimbangi dengan prinsip menghormati hak peribadi seseorang.” kata beliau .


Tan Sri Khalid sekali lagi menegaskan bahawa sebarang keputusan bersabit Wong harus bersandarkan prinsip seseorang tidak boleh dihukum selagi kesalahannya tidak dibuktikan.  

 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: