"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS diseru tidak abai isu murtad

Jimadie Shah Othman
PAS diminta tidak meringan-ringankan perkara teras perjuangannya dalam mempertahankan isu-isu agama, terutamanya dalam menentang keras fenomena murtad di negara ini.

Seorang perwakilan yang membangkitkan perkara itu dalam muktamar parti itu hari ini berkata, PAS kelihatan seolah-olah sudah meringankan perjuangan membela dan mempertahankan agama.

"Terkini di Tampin, Negeri Sembilan, mahkamah syariah isytihar seorang wanita Melayu telah murtad. Berapa ramai orang PAS keluar membantah pengisytiharan tersebut?

"Di mana Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS dalam menghadapi isu ini?

"Dulu kita bangga mempertahankan Natrah (di Singapura), tetapi hari ini kita membisu seribu bahasa," kata Ahmad Zulkarnain di muktamar PAS ke-55 petang semalam.

Kes murtad seorang wanita Belanda yang dikenali Natrah mencetuskan bantahan besar dan penuh emosi umat Islam di Singapura pada awal 1950-an.

Sehingga kini, setiap kali berdepan dengan isu murtad, kisah Natrah akan sentiasa dijadikan teladan perjuangan parti itu dan NGO Islam.

Budaya 'angguk-angguk'

Sementara itu, perwakilan Dewan Muslimat, Dr Halimah Ali pula menekankan pentingnya membudayakan kritikan terbuka dalam parti itu, termasuk pemimpin tertinggi parti sehingga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, dewan itu tidak mahu "budaya angguk-angguk, geleng-geleng" menular dalam parti itu.

"Kita tawarkan ini agar menjadi agen semak dan imbang dalam parti, kita tidak mahu budaya seperti dalam Umno menular dalam parti ini," kata exco kerajaan Selangor itu.

Dalam perbahasan usul ucapan dasar presiden semalam, perwakilan Dewan Ulama, Muhammad Mustaffa sekali lagi menekankan kepentingan kepemimpinan ulama.

"Kita mesti pertahan kepemimpinan ulama yang telah dipersetujui. Jangan ada yang pertikaikan yang sudah kita sepakati. Ulama dan profesional dalam PAS sebagai satu pasukan yang tidak boleh dipisahkan," katanya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: