"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terimalah pandangan berbeza tanpa emosi / Nizar / PKFZ

Abdul Sukur Harun

Perkembangan yang berlaku di dalam PAS sekarang sangat merunsingkan, terutama keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, iaitu bagaimana sebahagian besar pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi India, mengundi calon Umno/BN.

Ramai pundit politik berpendapat, trend pengundian di Bagan Pinang ini hanya isolated case, kes terpencil, tidak akan merebak ke kawasan lain dalam sebarang pilihan raya akan datang. Maknanya, pengundi bukan Melayu akan terus menyokong calon Pakatan Rakyat di masa depan, sama seperti sokongan yang diberi oleh mereka dalam PRU Ke-12 yang lalu. Mudah-mudahan begitulah.

Namun demikian, oleh kerana sifat politik ia sentiasa berubah, banyak bergantung kepada imej dan persepsi terhadap calon dan parti yang bertanding, sewajarnyalah kita bimbang akan perubahan ini. Oleh itu apa yang penting ialah memperkukuh PAS itu sendiri, segera menyelesaikan masalah dalamannya, melaksanakan benar-benar konsep dan slogannya ‘PAS For All’, ‘PAS Untuk Semua’. Slogan ini sangat berjaya memikat hati pengundi pelbagai kaum dan agama dalam menyokong PAS. Ini telah membantu memperkukuh sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Benar, kor pengundi kita adalah Melayu. Tetapi jangan sedap hati dengan pendapat ini, kerana ia sangat terdedah kepada pelbagai kemungkinan. Pada PRU Ke-11, 2004, bagaimana pengundi Melayu telah memberikan sokongan hampir sepenuhnya kepada calon BN, menyebabkan PAS kalah teruk.

Justru itu, di samping berusaha mengekalkan sokongan pengundi Melayu, tidak dapat tiada PAS mesti juga berusaha mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu kepada PAS jika mahu kemenangan 2008 dulu berulang, malah bertambah dalam PRU Ke-13 nanti. Ini sebuah harapan.

Oleh itu, PAS hendaklah berungguh-sungguh memelihara imej dan persepsinya sebagai parti untuk semua, terbuka, tanpa menggadaikan prinsip perjuangannya. Sebarang tindakan, percakapan umum, ulasan, kenyataan dan perilaku semua pemimpin dan pendukung PAS yang dikira akan ‘mencederakan’ hubungan dengan pengundi bukan Melayu dan pengundi Melayu sendri akan merugikan PAS. Bukan itu saja, tetapi juga dengan sendirinya akan turut membantu mencederakan kekuatan Pakatan Rakyat.

Dengan itu diharapkan post-moterm yang akan dilakukan oleh PAS mengenai kekalahannya di Bagan Pinang, terutama kenapa pengundi bukan Melayu sudah kembali ramai menyokong BN, didedah dan dibahaskan secara terperinci, terbuka dan telus. Kita yakin post-moterm yang dipengerusikan oleh Haji Muhamad Sabu, seorang tokoh ever-green PAS, yang terkenal dengan sikap terbuka, akan berhasil dalam mendedahkan segala masalah sebenar.

Post-moterm ini nescaya akan menolong PAS menyedarkan dirinya sendiri mengenai kelemahan, kesilapan dan kekurangan yang ada padanya dalam usaha memperkukuh parti di masa depan.

PAS sekarang sedang menjadi perhatian sungguh-sungguh oleh semua pihak -kawan dan lawan. Sebagai sebuah parti politik yang amat bergantung kepada imej dan persepsi, di samping keutuhan prinsip perjuangan Islamnya, PAS seperti sebuah ekuarium, di mana seluruh yang ada di dalam ekuarium itu – gerak geri ikan, sisik dan warnanya, batu-batu kecil, makanan dan segalanya diperhatikan oleh ramai.

Makanya, semua langkah, sikap, kenyataan dan sebagainya dari para pemimpin dan pendukung PAS akan dilihat dan menimbulkan kesan besar kepada orang ramai. Mereka sedang menilai apa yang berlaku di dalam PAS sekarang sama ada kita bersedia atau tidak untuk membuat perubahan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan dunia maklumat yang terbuka seluas-luasnya, PAS berdepan dengan suatu keadaan di mana segala-galanya terdedah, tidak ada sebarang tindakan pendukungnya yang boleh dirahsiakan lagi.

Sejak keputusan Muktamar Tahunan PAS di Ipoh dulu, bahawa PAS komited dengan Pakatan Rakyat dan dipertegaskan lagi dalam Muktamar PAS berikutnya di Shah Alam, memang sudah terlihat segala usaha telah dibuat untuk sama-sama memperkukuh Pakatan Rakyat. Malangnya, diakuilah ada perlakuan pendukung yang boleh menjejaskan Pakatan Rakyat telah terjadi dan ini wajar dihentikan segera.

Sekiranya berlaku perbezaan pendapat di antara para pemimpin PAS dan pendukung biasa, hendaknya ia diuruskan dalam suasana harmonis, tidak merupakan cetusan kemarahan dan emosi, tetapi berpandukan kepada ilmu dan keterbukaan, tenang dan rasional.

Banyak contoh sama ada dari Nabi SAW sendiri, mahupun para sahabat, malah para ulama muktabar sendiri, memperlihatkan bagaimana mereka menguruskan pandangan berbeza dalam suasana yang sungguh harmonis dan di dalam lingkungan akhlak Islam. Tidak ada kata-kata kasar, ego, cetusan kemarahan, emosi dan prejudis yang diperlihatkan oleh mereka dalam menguruskan perbezaan pendapat itu.

Sementara itu, pandangan orang lain yang berbeza dengan kita sewajarnya diterima dengan sikap terbuka. Sama ada pandangan orang lain itu dirasakan tidak benar dan pendapat kitalah yang benar, jangan sama sekali mengurangkan penghormatan kita kepada mereka yang mengeluarkan pendapat, walau dari kalangan manapun mereka datang.

Sikap Nabi S.AW. ketika berhujah dengan tokoh Quraish, Utbah bin Rabeah sangat wajar dijadikan contoh. Nabi S.A.W. dengan hormat mendengar hujah Utbah yang menolak Islam, kemudian Nabi S.A.W. menjawabnya dengan hujah Al-Quran, kemudian memberikan kesempatan lagi kepada Utbah berhujah dan begitulah seterusnya, sehingga Utbah mengalah dan pulang ke kampungnya. Banyak lagi contoh yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W, dan para sahabat, memperlihatkan sikap terbuka mereka, yang sama sekali tidak dihambat oleh emosi kemarahan kerana berbeza pendapat.

Kita ingin benar melihatkan perbahasan perbezaan pendapat di dalam PAS diuruskan dalam suasana sedemikian, kerana ia memancarkan akhlak Islam yang kita junjung tinggi. Inilah juga perbezaan PAS sebagai gerakan Islam dengan parti sekular. Sikap ini juga memperkukuh imej PAS sebagai parti yang terbuka, tidak jumud dan bersifat kontemporari.

Kita yakin akan lahir lagi, pelbagai pandangan pelbagai pihak terhadap PAS. Terimalah pandangan itu dengan tenang, bersikap terbuka dan kalau perlu mengajak mereka berbahas dengan ilmu, bukan dengan kemarahan, emosi dan prejudis. Jika suasana keterbukaan ini berlaku di dalam PAS, hal ini akan membantu mencemerlangkan imej PAS.

Ini sebuah harapan. Seperti kata Harry Browne dalam bukunya ‘How I Found Freedom In An Unfree World’, bahawa harapan adalah sebuah jambatan bagi mereka yang memiliki jiwa besar dan cita-cita besar.

Tiada ulasan: