Rasullah banyak kali menegaskan kepentingan solat berjemaah sehingga pernah merancang membakar beberapa rumah milik kaum Muslimin yang tidak mengerjakan solat berjemaah seperti mana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam bersabda:
Sesungguhnya solat yang paling berat atas kaum munafiqin adalah solat Isyak dan Fajar, sekiranya mereka mengetahui keutamaannya, nescaya mereka akan menghadirinya meskipun dengan merangkak. Sungguh betapa ingin rasanya aku memerintahkan orang-orang untuk solat kemudian aku memerintahkan seseorang untuk mengimami mereka. Lalu aku pergi bersama beberapa orang laki-laki dengan membawa kayu bakar menjumpai orang-orang yang tidak menghadiri solat berjemaah, lalu aku bakar mereka bersama rumah-rumah mereka dengan api."(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Maka menjadi tanggungjawab mencari imam yang disukai oleh makmum dan pilihan makmum itu bukanlah terhad kepada golongan berusia sahaja tetapi mestilah yang disukai oleh remaja juga kerana itulah faktor-faktor yang mendorong remaja untuk solat berjemaah maka secara tidak langsung dapat membawa kepada satu tajdid untuk mencapai suruhan yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya . Malah juga Rasulullahshallallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda:
" Ada tiga orang yang pahala solatnya tidak naik meskipun sedikit di atas kepala (maksud ini adalah kiasan bahawa solat mereka tidak dapat diterima oleh Allah dan tidak mendapat pahala): Yang pertama adalah, solat seseorang yang mengimami solat sedangkan makmumnya membencinya………".[ H.R Ibnu Majah, "Hadis ini Hasan"]
Maka imam dalam solat semestinya dipilih daripada orang-orang yang disukai oleh makmumnya. Secara waqi’nya kebanyakan remaja hari ini meminati 'artis' idola mereka daripada imam-imam disurau mereka . Bukan mereka membenci imam disuraunya tetapi tiada daya aura tarikan untuk mereka bersama solat secara berjemaah.
Ini kerana ciri-ciri seorang imam dalam solat berjamaah tidak hanya bacaan dan tajwid yang perlu baik tetapi juga perlu mempunyai aura tersendiri untuk menarik perhatian di kawasan penduduk mereka supaya ia dapat bergerak dan melakukan solat secara berjamaah dengan begitu ramai. Maka seorang Imam perlu memiliki tanggungjawab untuk membawa jemaahnya menghadap Allah s.w.t.
Penulis ambil contoh seperti ustaz Akhil Havy berapa ramai anak-anak muda termasuk remaja lelaki "rock", yang datang mendengar ceramahnya. Ini kerana tarikan ustaz tersebut yang memiliki keistimewaannya tersendiri menyebabkan remaja-remaja berlumba-lumba kearahnya. Bukan maksud penulis kita menukar imam yang sedia ada tetapi perlu ada seorang imam yang dapat menarik perhatian remaja-remaja sekarang.
Muhammad Fakhruddin Ismail
Tiada ulasan:
Catat Ulasan