Zulkifli Sulong
Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) saling berebut antara satu sama lain siapakah bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, PKR nampaknya memberikan tanda yang jelas dalam majlis mereka malam tadi.
Ia semacam disahkan pula oleh Twitter yang disebarkan oleh ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis itu bermula. Ada empat pemimpin PKR yang menyertai majlis perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' di Stadium Kuala Kubu malam tadi, selain beliau sendiri.
"Alhamdulillah.. sambutan hangat. Sen SHusin, ybAzmin TSKhalid, ybSiva, DZaid." bunyi Twitter Anwar.
Ekoran itu, nama Datuk Zaid Ibrahim semakin jelas akan menjadi calon PKR dalam pilihan raya kecil ini kerana selain beliau semua pemimpin PKR yang disebutkan sudah menjadi wakil rakyat di samping senator.
Datuk Zaid, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, dilihat antara tokoh nasional PKR yang perlu kembali ke Dewan Rakyat. Jika tidak, suara beliau sukar untuk diberi perhatian sewajarnya.
Dipihak BN pula, ramai yang menyerang MIC selepas nama timbalan presidennya, Datuk G Palanivel diumumkan bakal menjadi calon BN sekali lagi di situ selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.
Umno Hulu Selangor sendiri mahukan tokoh veteran Selangor Tan Sri Muhamad Muhd Taib menjadi calon kononnya untuk mengulangi kejayaan mereka dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Bekas MB, Datuk Dr Muhamad Khir Toyo juga membantah cadangan MIC itu.
Menambahkan lagi kecenderungan ke arah itu adalah apabila Datuk Noh Omar dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil tersebut dan ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Mohamed Idris Bakar dilantik sebagai timbalannya.
Dalam pilihan raya Bagan Pinang, Umno berjaya mengekalkan kerusi itu bahkan berjaya menambahkan undi majoriti apabila bekas MB Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad diletakkan.
"Jika kita mahu mengembalikan kegemilangan di Bagan Pinang, tokoh veteran Umno perlu diletakkan di sini. Kita yakin, kemenangan mudah bakal dicapai," kata seorang pemimpin Umno Bahagian sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah laman web.
Namun begitu, risiko yang dihadapi Umno adalah 'merampas' kerusi MIC ketika parti yang mewakili kaum India dalam BN itu sedang 'luka'. Sedangkan dalam masa yang sama, 19 peratus pengundi di sini adalah dari kaum India. Pengundi Melayu adalah kira-kira 53 peratus manakala Cina 28 peratus.
Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, Datuk G Palanivel tewas kepada kepada calon PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang meninggal dunia semalam akibat barah otak.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan memanggil pilihan raya kecil bagi kawasan tersebut dalam tempoh 60 hari. SPR pula akan bermesyuarat Jumaat depan untuk memutuskan tarikhnya.
Walaupun ia merupakan kerusi majoriti Melayu, tetapi ianya telah diperuntukkan kepada MIC sejak sekian lama. Jika mencari kerusi majoriti India nescaya tidak adalah calon MIC yang dapat bertanding. G Palanivel menang pada pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi tewas kepada Zainal Abidin pada 2008. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi untuk menang tipis dengan 198 undi. Palanivel pula mendapat 22,979 undi.
Pujukan yang dibuat Umno kepada MIC adalah parti itu akan diberikan kerusi lain dalam pilihan raya umum nanti. Tetapi, kerusi manakah itu, belum disebutkan lagi. Ini menyebabkan ramai pemimpin MIC beranggapan ini janji kosong Umno sahaja.
Walaupun tuntutan agar PKR juga meletakkan calon India dalam pilihan raya ini berkumandang juga namun jika PKR terus dengan calon Melayu ia tidak berapa sukar. Ini kerana, kerusi ini dimenangi dalam pilihan raya 2008 lalu melalui calon Melayu iaitu Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Jadi jika
Datuk Zaid yang bertanding, ia bakal diterima dengan baik. Tambahan pula, jika Zaid yang terpilih, ia lebih senang kerana dia sangat diterima baik oleh India, Cina maupun Melayu di negara ini.
Zaid pula dikatakan sudah mula 'bekerja' untuk menjadi wakil rakyat kawasan ini setelah Dr Zainal sekian lama tidak mampu untuk menjalankan tugasnya dengan baik kerana skit barah otak yang dialaminya itu.
"Walaupun Zaid orang Kelantan tetapi dia sudah lama menjadi 'rakyat Selangor' selepas bekerja dan tinggal di sini sejak sekian lama," kata seorang pemimpin kanan PKR.
Halangan besar beliau dalam memenangi kawasan ini adalah empat kawasan Felda yang ada dalam kawasan Hulu Selangor Felda Gedangsa, Soeharto, Sungai Tengi dan Sungai Tengi Selatan. Ia bakal menjadi kubu Umno.
Namun sejarah 13 tahun lalu di mana ke empat-empat kawasan Felda ini mahu dijadikan zon industri oleh bakal calon Umno kini, iaitu Tan Sri Muhamad, bakal menjadi mimpi ngeri untuk Umno. Sekurang-kurang 70 keluarga kakitangan Felda yang terpaksa bersara awal untuk menyambut kawasan industri itu tentu masih merasa peritnya.
Jika Zaid dan PKR dengan sokongan penuh PAS dan DAP boleh berbuat sesuatu di sini, sudah pasti angan-angan Umno untuk menjadikan Hulu Selangor sebagai Bagan Pinang kedua bakal meleset.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan