"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelayakan KPN: Sivarasa dipanggil beri keterangan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 26 Mac:
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah hari ini dipanggil memberi keterangan mengenai laporan polis yang dibuatpada 24 Mac lalu terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang didakwa membuat kenyataan palsu dalam prosiding Mahkamah.

Beliau hadir jam 3.00 petang tadi memberi keterangan hampir satu jam di ibu pejabat polis IPD Dang Wangi.

"Mereka minta bukti saya ada untuk menunjukkan bahawa Tan Sri Musa Hassan telah membuat kenyataan palsu dalam mahkamah.

"Saya sebut saya lampirkan dalam laporan polis saya, saya kepilkan nota prosiding mahkamah.

"Ini bukan cerita dengar cakap, saya dapat bukti kukuh berdasar nota prosiding yang ditaip di mahkamah", katanya ketika ditemui pemberita selepas itu.

Rabu lalu, Siva membuat satu laporan polis terhadap Musa Hassan yang didakwa memberikan pengakuan palsu berhubung kelayakannya pada perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Menurut Sivarasa, semasa kes perbicaraan Anwar pada tahun 1998 di mana Musa Hassan sebagai Pegawai Siasatan, beliau menyatakan di depan Hakim Augustine Paul dengan mengatakan beliau mempunyai ijazah apabila disoal oleh peguam Christopher Fernando.

Tetapi ujarnya, semasa perbicaraan rasuah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Ramli Yusuff di Mahkamah Sesyen Sabah, Musa dalam prosiding kehakiman memberitahu beliau mempunyai diploma undang-undang dan kajian pengurusan.

Pada masa yang sama, beliau juga turut mengesyorkan kepada kerajaan supaya menghentikan tempoh perkhidmatan ketua polis negara itu.

Baginya, Musa sebagai pegawai tinggi kerajaan sudah hilang integriti dan kredibiliti apabila melakukan pembohongan di mahkamah.

"Sekarang ini bukan isu dia ada diploma atau ijazah, isunya dia berbohong di mahkamah.

"Kalau nak tahu dia ada diploma atau ijazah, baik tanya dia sendiri," katanya.

Tiada ulasan: