Harakahdaily
KLANG, 4 Okt: Jenazah Allahyarham Samsuri Roslan, penulis dan wartawan, selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Meru jam 9.30 pagi ini selepas meninggal dunia petang semalam.
Samsuri, kolumnis beberapa akhbar termasuk akhbar politik Siasah dan lidah rasmi PAS Harakah meninggal dunia tiga minggu selepas diserang angin ahmar pada 13 September lalu ketika pulang beraya bersama keluarganya di Grik, Perak.
(PERJALANAN TERAKHIR SEORANG WARTAWAN...Jenazah Allahyarham Samsuri Roslan dibawa keluar dari rumahnya di Meru untuk disemadikan)
Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Ipoh dalam keadaan koma dan dimasukkan ke wad ICU lebih seminggu di sana sebelum dibenarkan keluar walaupun masih belum sedarkan diri.
Beliau kemudiannya dibawa keluarganya ke Hospital Pantai, Kuala Lumpur sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir petang semalam.
Ketika hayat, Samsuri adalah penulis yang aktif. Beliau pernah menjadi Pengarang Berita akhbar Watan.
Semasa hayatnya, Allahyarham pernah bertugas dengan Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sekarang, semasa beliau memimpin Guthrie.
Samsuri meninggalkan seorang balu, Puan Faizah serta empat anak yang kesemuanya perempuan.
Semoga Allah menerima roh Allahyarham dan ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman.
Alfatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan