Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Abd Halim Abd Rahman berkata, isu senarai hitam kenderaan akibat saman ekor antara punca rakyat negara ini benci kepada kerajaan BN.
Katanya, persepsi itu wujud kerana rakyat merasakan mereka diperas ugut oleh kerajaan yang tidak membawa kes kesalahan lalulintas yang didakwa itu ke mahkamah untuk diadili.
"Mengikut persepsi, salah satu kebencian rakyat terhadap kerajaan BN ini, (senarai hitam) inilah. Angkara jabatan kerajaan yang seolah memeras rakyat, menzalimi rakyat," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya PAS Pusat.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pengangkutan ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, amalan di negara kita berbeza dengan negara-negara di Eropah yang membawa kes kesalahan lalulintas tersebut ke mahkamah untuk diputuskan.
"Black list ini denda ke hukuman? Di negara Eropah ianya dibawa ke mahkamah untuk menentukan sama ada denda atau hukuman," katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan masalah kelewatan notis saman ekor yang dihantar sehingga berlarutan hampir lapan tahun.
"Seperti saya, kesalahan dibiar sampai lapan tahun daripada 2004, baru sekarang saya terima.
"Adakah saman ini valid lagi? Kenapa tidak dibawa ke mahkamah untuk dihukum?" soalnya.
Beliau sebelum itu mahu penjelasan kementerian sama ada bercadang untuk mentakrif semula kesalahan lalulintas dan menyemak semula hukuman.
Timbalan menteri ketika menjawab soalan itu berkata, pihak kementerian sentiasa mengkaji semula kesalahan-kesalahan lalulintas dan merubahnya dari masa ke masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan