"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memang Mustahil DAP Boleh Tukar Agama Rasmi Negara-Khalid Samad

SHAH ALAM, 9 MEI: Suara tidak sampai 20 peratus ahli DAP yang beragama Kristian dan sekitar 60 kerusi parlimen yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum di negara ini, ia jauh sekali untuk membentuk majoriti dua pertiga apatah lagi meminda Perlembagaan negara.

Menjelaskan hal itu, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, hujah bahawa DAP berhajat menukar agama Islam yang menjadi agama rasmi Persekutuan kepada agama Kristian adalah suatu hujah yang begitu dangkal dan fitnah terdesak pihak berkepentingan kerana ia suatu yang mustahil berlaku di negara ini.

Malah ia juga jelas Khalid adalah usaha bagi mengelirukan rakyat oleh Umno-Barisan Nasional demi mengekalkan kuasa dan cengkaman mereka ke atas masyarakat Melayu di negara ini.

“Saya haraplah umat Islam dan masyarakat Melayu tidak mudah tertipu, orang (ahli) DAP seperti mana saya sebut tak sampai 20 peratus daripada mereka adalah orang Kristian tak mungkin mereka boleh tukarkan perlembagaan negara.

“Kalau DAP menang semua kerusi yang mereka tandingi pun paling maksimum hanya boleh dapat 60 kerusi daripada 222.

"Kalau nak tukar perlembagaan dan sebagainya, nak jadikan negara Kristian dan sebagainya, DAP kena menang paling kurang 140 kerusi untuk menjadikan dua pertiga dan ianya satu perkara yang mustahil dan ini tak diberitahu pada orang Melayu. Orang Melayu di kampung-kampung ditakut-takutkan,” katanya ketika ditemui Tv Selangor pada sambutan Hari Pekerja dan Wacana Kebangsaan, semalam.

Jelas Khalid, sikap terdesak Umno-BN ini hakikatnya "memaksa" masyarakat Melayu untuk terus hidup dalam keadaan bimbang, takut dan kecurigaan yang berpanjangan terhadap kaum lain di negara ini.

Ia sekaligus digunakan untuk melemah dan memburukkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti pelbagai kaum yang memperjuangkan hak sama rata rakyat di negara ini.

“Ini cara bagaimana orang Melayu kita ini diperbodohkan dan ditakut-takutkan demi kepentingan Umno- Barisan Nasional,” katanya.

“Mereka (Umno-BN) dalam keadaan kelam kabut dan mereka main apa saja isu yang mereka rasa boleh menyebabkan orang Melayu takut pada Pakatan Rakyat yang menyebabkan orang Melayu ini lari kepada mereka,"tambahnya lagi.
-tvsnews-

Tiada ulasan: