"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Royalti: T’ganu dapat, kenapa nafi hak Kelantan

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Mei: Pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu dengan menafikan hak Kelantan sedangkan kedua-dua negeri bersempadan dan telaga minyak Kelantan adalah berhampiran menjelaskan hasrat menganaktirikan Kelantan atas faktor politik.

“Keadaan ini menunjukkan Barisan Nasional mempunyai dasar yang berubah-ubah dalam isu yang sama,” kata Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa (gambar).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum menyatakan demikian sebagai mengulas pembayaran royalti petroleum kepada Terengganu berjumlah RM938 juta secara berperingkat sehingga Jun 2011.

Baginya, perkara itu yang disahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu (Dun) ke-12 semalam membuktikan bahawa isu 3 batu nautika adalah isu yang sengaja diada-adakan untuk menafikan hak Royalti Petroleum Kelantan.

Katanya, pembayaran semula royalti minyak Terengganu itu juga menunjukkan Perdana Menteri mempunyai dua polisi berlainan bagi isu yang sama dan ia memberi petanda aras bahawa slogan 1Malaysia yang dilaung-laungkan adalah slogan kosong tidak bermakna.

Menurutnya, pembayaran royalti itu, sebagaimana kenyataan Menteri Besar Terengganu adalah berasaskan perjanjian 1975.

Justeru, katanya Kelantan dan Terengganu menandatangani perjanjian yang sama 36 tahun yang lalu.

“Secara jelas asas undang-undang adalah sama. Jika pembayaran terpaksa dibuat kepada Terengganu kerana kehendak perjanjian 1975, jelas tidak ada sebab hak Kelantan dalam hal yang sama dinafikan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, bagi berlaku adil dan merealisasikan kebajikan secara saksama serta pengembalian hak rakyat Kelantan, Perdana Menteri seharusnya menjelaskan segera pembayaran royalti minyak Kelantan sama sebagaimana yang dilakukan kepada Terengganu.

Tiada ulasan: