"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Air pasang merah' - ikan, hidupan laut mati di P Pinang

Kerajaan Pulau Pinang akan memanggil Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian air pasang merah yang berlaku di perairan Teluk Bahang dan Sungai Pinang, Balik Pulau di negeri itu sejak Sabtu lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dalam masa sama pihaknya akan terus memantau fenomena itu yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan di kawasan terlibat kerana banyak ikan dan hasil laut mati.

"Kejadian itu (banyak ikan mati) dipercayai berpunca daripada red waves (air pasang merah), ini memang satu gejala yang berlaku dari semasa ke semasa dan saya dimaklumkan ada kejadian ini.

"Kita (kerajaan negeri) akan dapat maklumat lanjut daripada Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar, kita akan pantau kejadian ini," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Sementara itu, para nelayan bimbang dengan fenomena itu yang didakwa berlaku sejak dua hari lepas kerana ia telah menyebabkan ikan dan hidupan laut mati, iaitu bermula kira-kira satu kilometer daripada kawasan Muka Head hingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang Johari Mohamad berkata kebanyakan nelayan menyedari kejadian itu selepas terdapat jalur-jalur berwarna merah di permukaan laut dan ikan secara tiba-tiba timbul di permukaan sebelum mati dan terapung.

Katanya fenomena jaluran warna merah memanjang di tengah laut boleh dilihat dengan jelas dan keadaan air laut juga tidak secantik seperti selalu sejak dua hari lepas.

"Kejadian sama pernah berlaku pada awal tahun ini dan banyak ikan mati, masa itu dalam tiga hingga empat hari nelayan tidak turun ke laut.. kami (nelayan) bimbang sekiranya fenomena air pasang merah itu berterusan sehingga menyebabkan hasil laut menyusut," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr Aileen Tan berkata fenomena itu dipercayai berpunca daripada sejenis plankton yang dikenali sebagai Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.

"Kejadian yang sama telah berlaku pada April lepas semasa musim panas iaitu beberapa hujan yang membawa nutrien dari darat ke lautan.

"Dinoflagellate ini bersaiz besar dan mampu menyumbat insang ikan selain bersaing untuk mendapatkan oksigen pada waktu malam semasa mekar," katanya.

Beliau berkata pasukannya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kematian ikan di kawasan terlibat namun berdasarkan hipotesis ia mungkin disebabkan oleh kawasan anoksik atau ketiadaan oksigen di laut dan juga penyumbatan insang ikan.

Katanya, pembiakan plankton Noctiluca Scintillans berpunca daripada variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera (dikaitkan dengan hujan yang tinggi) yang boleh mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut serta ketersediaan nutrien terlarut.

- Bernama

Tiada ulasan: