FMT Reporters
Tangkap layar video kejadian membabitkan kejadian seorang ahli perniagaan diserang beberapa lelaki.
PETALING JAYA: Polis menyiasat dan memburu beberapa suspek yang terbabit dalam kejadian langgar lari sebelum memukul seorang ahli perniagaan yang berlaku di Kota Kemuning petang semalam.
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi FMT mengesahkan seorang suspek berjaya ditahan.
“Kami menahan seorang suspek dan memburu beberapa orang lagi yang terlibat,” katanya kepada FMT.
Seorang rakan ahli perniagaan itu yang menghubungi FMT memberitahu kejadian berlaku ketika mangsa menghantar dua pekerjanya ke tempat kerja di Kota Kemuning.
Dakwa lelaki itu, ketika kereta ahli perniagaan itu masuk ke parkir, sebuah kereta Myvi berwarna tiba-tiba menghalang dari belakang.
Ahli perniagaan itu yang percaya dia akan diserang oleh beberapa lelaki dalam kereta Myvi itu kemudiannya bertindak merempuh kenderaan itu beberapa kali untuk melarikan diri.
Video kejadian itu turut dikongsi kepada FMT.
Kereta Myvi itu kemudiannya terus mengejar dan melanggar kereta mangsa hingga berlaku kemalangan.
Beberapa lelaki dalam kereta Myvi itu didakwa mengheret ahli perniagaan itu keluar dari kenderaannya lalu memukul mangsa sebelum melarikan diri.
Dua wanita yang juga pekerja ahli perniagaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ahli perniagaan itu mengalami keretakan pada tengkorak dan dirawat di sebuah hospital swasta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan