Shakira Buang
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang boleh berucap, bercakap dan bercerita apa saja yang dikehendakinya, kata Ketua Umno Bahagian Muar, Ashari Md Sarip.
Bagaimanapun Ashari menyifatkan kenyataan ahli parlimen Marang itu tidak lebih seperti ‘ulam untuk menyedapkan makanan’ dan hanya sesuai dibincangkan di kedai-kedai kopi.
Dia berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi baru-baru ini yang mengatakan pengampunan kepada pesalah yang diamalkan negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.
“Kalau kita nak ulas cerita orang yang bersalah dan tak bersalah kita boleh dikenakan tindakan kerana sudah melangkaui mahkamah tapi bagi saya dia (Abdul Hadi Awang) ini hanya boleh bercerita untuk jadikan ulam dalam makanan dia, bercerita di warung kopi boleh.
“Tapi bukan di medan dan pentas politik besar ini. Dia boleh bercerita di mana saja tapi tolonglah tok guru Hadi Awang dia tak sesuai berada di medan yang besar ini,” katanya.
Terdahulu, Ashari hadir bersama-sama calon PH DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman dalam program jalur gemilang bersama DUN Simpang Jeram, di Perhentian Teksi Bentayan, Muar, hari ini.
Abdul Hadi ketika ceramah Perdana PN Johor di Muar pada malam Sabtu lalu berkata cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.
Menurutnya pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga mangsa jenayah dan bukannya lembaga pengampunan.
Malah dia menegaskan undang-undang Islam sepatutnya mendidik pesalah dan bukan menyeksa mereka.
Rujuk kepada pakar
Mengulas lanjut, Ashari turut menasihatkan rakyat khususnya pengundi di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai agar tidak mudah percaya dengan kenyataan yang dibuat pemimpin PAS itu.
Kata Ashari, rakyat hari ini perlu lebih bijak untuk menapis segala maklumat yang diterima mereka dan jika perlu merujuk pihak berwajib yang pakar dalam bidang berkaitan.
“Di setiap negeri kita ada pakar rujuk, daripada yang tertinggi dan juga penasihat istana dalam bidang agama yang ada untuk kita jadikan rujukan.
“Bagi saya rujuk tempat yang betul, rakyat perlu merujuk mereka yang arif yang bidang mereka khususnya hal ehwal agama,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan