"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Memahami ideologi agama Pas

FATHI ARIS OMAR

Kita, baik penyokong PH atau PN, rasa macam kita sudah cukup faham. Namun, peminat politik dan pemerhati gerakan Islam, ada waktu-waktunya, sukar menanggapi gejala ini.

Pas (baharu) dan Islamisasi 1970-an gejala yang panjang, berlapis-lapis, ruwet dan tebal sejarahnya. Memang tidak akan dapat diselami dengan mudah dan selapis.

Biar saya cuba huraikan dua daripada empat perkara yang dimaksudkan di bawah. Boleh jadi juga tanggapan saya silap, cetek atau lemah. Tanggapan ini untuk diperdebatkan lagi.

1. Pas bukan parti biasa, ia sebuah parti massa seperti warisan pergerakan politik abad ke-20. Diilham daripada gerakan buruh dan Marxisme, banyak parti di banyak negara sejak lebih 100 tahun lalu mengambil pendekatan ini.

Di negara kita, Umno dan Pas menggunakan kaedah ini. Ia mempunyai sistem perkaderan, ideologi, cawangan ke peringkat akar umbi, institusi satelit, disiplin dan kawalan, sistem dana, pelbagai latihan dan sayap-sayap pergerakan.

Banyak parti bercita-cita membentuk sistem seperti ini tetapi tidak selalu berjaya. PKR cuba tetapi tidak sesuai dengan gejala dan semangat abad ke-21.

Parti ini parti media, sokongannya “terapung” mengikut lintasan isu semasa yang dikupas melalui media (internet). PKR ini “mediated party” yang hidup dalam “mediated democracy”. Kita bincang lain kali.

Dalam perlawanan merebut sokongan Melayu dengan Umno (baca: parti kerajaan), Pas juga menyusun struktur, pentadbiran, aliran dana dan institusi parti.

Pasti, Unit Amal, Harakah dan jabatan pelajar sebahagian proses pengukuhan (baharu) tersebut. Ia sebahagian projek “meng-haraki-kan” Pas selepas muktamar 1982.

Lebih unik, Pasti dan jabatan pelajar ini dibentuk (susun semula) akibat krisis dengan dua satelit parti, ABIM dan IRC, yang berlaku sekitar 1983 hingga 1986.

Parti kiri juga ada banyak satelitnya, termasuk intelektual seperti penulis, wartawan, ahli akademik, seniman, penerbit buku dan agamawan teologi pembebasan. ABIM dan IRC pernah berperanan sebagai cabang satelit Pas.

Tetapi Pas bukan parti sekular seperti kesatuan buruh atau gerakan Marxisme. Pas menukar diri sebagai jemaah Islam dengan sasaran mad’unya di kampung atau pinggir bandar.

Jika Marxisme ada kaum buruh dan proletariat, Pas ada orang kampung sebagai penggerak jemaah. Orang kampung sebagai tapak subur tradisi, konservatisme, nasionalisme etnik, kehidupan santai-ringkas-bergelut, bertani dan pergaulan sesama sendiri (monoethnic).

Jika kita lihat bagaimana markaz parti dan Pasti dibentuk, khususnya 1980-an dan 1990-an, kita akan perasan kesan sifat tradisi kampung seperti kerja gotong-royong, mewakaf tanah dan derma.

Ia bukan kegiatan parti yang terpisah daripada masyarakat tetapi menjadi sebahagian kerja orang kampung, setidak-tidaknya dalam kalangan penyokong dan simpatisan Pas.

Kegiatan rutin agama di kampung perlahan-lahan menjadi kehidupan berteraskan atau berlegar di sekeliling penggerak Pas. Tanpa jersi rasmi, watak khusus dan perkampungan khas macam Arqam, Pas diserap secara semula jadi dan organik.

Kuliah maghrib, urusan jenazah, kenduri, solat hajat, bacaan Yaasiin, sakit demam, bencana, bomoh, sambutan nisfu syaaban, israk mikraj dan maulud, bubur Asyura semuanya digerakkan dalam konteks orang Pas tetapi tanpa menampal label dan politik parti.

Begitulah maksud saya dalam hujah 1 di bawah: jemaah Pas sebagai penghayatan budaya.

Di sini pandangan politik, agama dan tasawwur Pas menyusup dalam fikiran massa. Pas sebagai institusi budaya dan proses pembudayaan (sosialisasi).

Pas menggantikan institusi rasmi, kerajaan atau Umno yang pernah mencengkam kehidupan sosio-agama, sosio-budaya dan sosio-ekonomi kampung.

Lama-kelamaan, perlahan-lahan dan senyap-senyap, ideologi agama Pas tidak lagi dianggap ada motif politik tetapi versi sah Islam yang sedia ada, tradisi atau semula jadi.

2. Ramai orang tidak dapat menangkap apa makna Kebangkitan Islam di negara ini sejak 1970-an atau sering digelar Islamisasi (atau dalam istilah negatif Arabisasi). Perlu diakui, gejala ini rumit untuk dibedah, apatah lagi difahami.

Selain buku sejarah Pas seperti Islam Embedded: The Historical Development of the Pan-Malaysian Islamic Party PAS, 1951-2003 (Dr Farish A Noor, 2004), saya sarankan kita semua baca The Battle for God: Fundamentalism in Judaism, Christianity and Islam (Karen Armstrong, 2000).

Fenomena ini lebih rumit difahami jika kita tidak pernah hidup bersama gerakan usrah pada saat Pas berkembang membudaya (point 1) dan tidak pernah meneliti kajian fundamentalisme agama.

Pada hemat saya, ada tiga perkara besar untuk memahami kebangkitan Islam atau political Islam. Dua daripadanya saling berkaitan (a) hakimiyah Allah dan (b) totalisasi agama (addin atau syumul).

Yang ketiga, (c) sebaran ideologi (a) dan (b) melalui semua proses kehidupan bernegara, termasuk “merampas” (hijack) pertarungan makna-tafsir agama daripada Negara atau institusi rasmi.

Gejala (c) ini wujud hasil berkembangnya pembudayaan ideologi agama Pas seperti point 1 di atas. Sampai di suatu peringkat, Umno tewas, terpaksa tunduk bawah tafsir agama ala Pas.

Saya huraikan beberapa kali sejak lebih 20 tahun lalu. Sebahagian tulisan lama saya tentang ideologi agama dikumpul dalam buku Agong Tanpa Tengkolok (2014).

Tiada ulasan: