"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi sekali lagi dipanggil ke Bukit Aman

Malaysiakini

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sekali lagi dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha politiknya Syahir Sulaiman dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota Parlimen Bachok itu berkata, pihaknya dihubungi pihak Bukit Aman untuk mendapatkan keterangan daripada Abdul Hadi berhubung suatu laporan polis terhadap ucapannya dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Simpang Jeram, Johor.

"Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada Tan Sri Tuan Guru (Abdul Hadi), dan beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bukit Aman.

"Malah sebelum ini Tan Sri Tuan Guru telah pun memberikan keterangan kepada Bukit Aman, termasuklah menyerahkan peranti (telefon bimbit) milik pengendali akaun Facebook rasmi beliau (setiausaha akhbar) kepada pihak Bukit Aman dan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), bagi membantu siasatan," katanya.

Syahir ketika dihubungi Malaysiakini berkata, dia tidak pasti Abdul Hadi dipanggil memberi keterangan berkenaan isu yang mana disebutkan presiden PAS itu.

Namun dipercayai Abdul Hadi dipanggil polis susulan ucapan yang dibuat dalam ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS kawasan Bakri, di Muar Johor pada malam Sabtu lalu.

Dalam ceramah itu Anggota Parlimen Marang itu dilapor menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dengan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.

Menurutnya pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah dan bukannya lembaga pengampunan.

Malah dia menegaskan undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa.

Justeru menurut bekas duta khas bertaraf menteri itu lagi, PAS mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

Untuk rekod sebelum ini Abdul Hadi pernah dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis susulan kenyataan yang didakwa berbaur perkauman mengenai rasuah.

Sementara itu Syahir berkata, Abdul Hadi menaruh kepercayaan penuh terhadap profesionalisme pihak PDRM dan SKMM dalam menjalankan tugas dan siasatan.

Tiada ulasan: