"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes rasuah syarikat judi: Akaun individu, syarikat bernilai RM40juta dibeku SPRM

Malaysiakini

Penahanan 13 individu termasuk Tan Sri dan Datuk Seri berhubung siasatan pemberian rasuah oleh syarikat perjudian membawa kepada pembekuan akaun individu dan syarikat bernilai RM40 juta.

SPRM kini dilaporkan sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai berada di luar negara sejak seminggu lalu.

Utusan Malaysia memetik sumber yang mengatakan, nama individu terlibat mungkin didedahkan SPRM jika masih enggan tampil membantu siasatan.

“Individu berkenaan dipercayai telah berada di negara jiran dan sebuah negara Eropah sejak seminggu lalu.

“Jika mereka masih tidak mahu pulang, tidak mustahil SPRM meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk kesan mereka,” kata sumber yang tidak dinamakan, seperti dilapor.

Laporan itu turut menyatakan bahawa seorang lagi individu berusia 68 tahun ditahan SPRM tengah hari semalam.

Suspek terbaru yang ditahan itu dikatakan merupakan pengendali syarikat operator judi di sebuah kilang di Pulau Pinang, yang kini direman selama tiga hari.

Perkembangan ini menjadikan seramai 14 individu ditahan berhubung kes itu setakat ini.

Beberapa orang kenamaan termasuk pemimpin politik sebelum ini dilapor dikesan SPRM telah menerima dana sehingga RM7 juta daripada beberapa syarikat perjudian untuk digunakan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PRU14 dan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.

Dana itu dipercayai diterima orang kenamaan dan pemimpin politik sebagai balasan syarikat perjudian tersebut diberi lesen mengoperasikan aktiviti mesin slot di kelab persendirian dan persatuan dimiliki syarikat pengendali mesin judi.

Selain dana bagi tujuan politik, syarikat judi tersebut juga dikatakan dipaksa menaja pelbagai aktiviti membabitkan VIP dan pemimpin politik berkenaan seperti bermain golf di kelab-kelab mewah.

Tiada ulasan: