"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malaysia berisiko jadi tempat lambakan pelarian, Pati

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
BOT membawa 40 Pati yang dikesan pihak berkuasa. FOTO arkib
BOT membawa 40 Pati yang dikesan pihak berkuasa. FOTO arkib
Kuala Lumpur: Kemasukan warga asing secara haram termasuk pelarian dan pencari suaka dibimbangi menyebabkan negara ini menjadi tempat lambakan warga asing seterusnya memberi kesan sosial budaya termasuk bawaan penyakit berjangkit yang mampu mengancam penduduk tempatan.

Malah kemasukan mereka juga boleh menimbulkan isu keselamatan dan jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia apabila ada yang bertindak sebagai ejen dengan bersekongkol dengan sindiket.

Melalui data terbaru dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat Julai lalu, terdapat kira-kira 182,010 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 158,500 adalah dari Myanmar, yang terdiri daripada kira-kira 105,960 Rohingya, 23,700 Chin, dan 28,840 kumpulan etnik lain dari kawasan yang terjejas konflik atau melarikan diri daripada penganiayaan.

Baki individu membabitkan 23,510 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri dari perang dan penganiayaan, termasuk 6,710 rakyat Pakistan, 3,190 Afghanistan, 3,140 Yaman, 2,940 Somalia, 2,670 Syria, 1,340 Sri Lanka, 680 Iraq, 580 Palestin, dan lain-lain.

Daripada jumlah itu, sebanyak 66 peratus pelarian dan pencari suaka adalah lelaki, manakala 34 peratus adalah wanita serta kira-kira 50,000 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Malah untuk rekod setakat 14 Julai lalu, seramai 720,099 pendatang tanpa izin (Pati) turut membuat permohonan dalam program Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

Mengulas mengenai isu lambakan warga asing dan pelarian, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Seri Halim Ishak berkata, bagi mengatasi kesan negatif lambakan warga asing, kerajaan perlu mengambil langkah dengan meningkatkan kawalan sempadan, meningkatkan sistem imigresen, dan mencari penyelesaian yang adil dan bersepadu untuk isu ini.

Menurutnya, ia termasuk peluang pemulihan status Pati yang sesuai selain kerjasama antarabangsa juga boleh menjadi faktor penting dalam menangani isu ini.

"Antara elemen yang perlu diperhalusi membabitkan tekanan di sistem sosial dan ekonomi iaitu penambahan jumlah Pati boleh menyebabkan peningkatan tekanan ke atas perkhidmatan sosial seperti perubatan, pendidikan, dan perumahan.

"Ini boleh merencatkan kemampuan kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan yang mencukupi kepada penduduk tempatan," katanya kepada Harian Metro.

Halim berkata, lambakan pati juga boleh membawa isu-isu keselamatan dan kejahatan termasuk peningkatan jenayah seperti penyeludupan dadah, perdagangan manusia, dan kegiatan jenayah lain.

"Penambahan penduduk asing yang tidak sah boleh menimbulkan ketegangan sosial antara komuniti tempatan dan pendatang. Ini boleh merencatkan perpaduan sosial dan keamanan negara.

"Pati yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang baik boleh membawa risiko kepada kesihatan awam, terutamanya dalam konteks wabak penyakit seperti Covid-19," katanya.

Beliau berkata, penting untuk memastikan bahawa Pati yang tiba di Malaysia diperlakukan secara adil dan mengikut prinsip hak asasi manusia.

"Ini termasuk memberikan perlindungan kepada mereka yang memerlukan perlindungan kemanusiaan sebagai pelarian.

"Kerajaan juga boleh mempertimbangkan program penghijrahan terkawal yang dapat mengatur dan mengawal perpindahan penduduk asing secara sah dan terkawal," katanya.

Sementara itu, pakar sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran pula berkata, kehadiran pelarian Rohingya turut memberi kesan kepada masalah sosial berikutan perbezaan budaya, norma kehidupan dan tingkah laku mereka begitu jauh ketaranya dengan masyarakat di negara ini.

"Akibatnya ia menimbulkan ketegangan kerana sikap pelarian Rohingya itu sendiri hingga mendatangkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat tempatan.

"Pelarian Rohingya ini sepatutnya perlu menjalani proses asimilasi, menghormati budaya di negara mereka datang, tidak bersikap seperti di negara sendiri supaya mereka tidak menimbulkan ketegangan," katanya.

Tiada ulasan: