"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rombakan kecil atau besar?

Wai Tee

Lebih sebulan Salahuddin Ayub, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN) meninggalkan kita. Jasa dan impak yang ditinggalkannya masih terasa. Legasi beliau terus hidup dalam denyut nadi rakyat terutama B40 dan M40. Rahmah jadi sinonim dengan namanya. Payung Rahmah, Menu Rahmah, Bakul Rahmah dan banyak lagi inisiatif Rahmah merupakan trademark almarhum.

Tetapi mengapa sampai sekarang tiada penggantinya? PRN enam negeri dah pun selesai. Di sambung pula dengan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Kedua-duanya tapak peninggalan almarhum. Beliau menang dengan majoriti yang selesa walaupun ditentang oleh BN dan PN ketika itu.

Di atas kertas kerajaan perpaduan seharusnya dapat mempertahankan kedua-dua kerusi itu memandangkan BN kini sudah bersama PH dalam satu kerajaan. Itu teori. Realiti mungkin berbeza. Banyak faktor yang boleh mempengaruhi pengundi seperti yang berlaku di PRN enam negeri. Apakah Johor berbeza dengan Terengganu, Kelantan, dan Kedah? Kita akan tahu pada 9 September nanti.

Apakah PMX akan menunggu sehingga keputusan PRK Pulai? Apakah PRK Pulai memberi petunjuk kepada pengganti almarhum? Rombakan kecil atau rombakan besar? Mungkinkah peluang ini akan digunakan untuk memperkemaskan jentera Kabinet bagi menangani cabaran yang lebih besar empat tahun ke hadapan?

Apakah rombakan ini hanya melibatkan pengisian jawatan menteri KPDN sahaja? Atau ianya melibatkan pergerakan beberapa Ahli Parlimen dan perubahan beberapa portfolio dan jabatan yang dikatakan lemah terutama ketika menghadapi serangan dari PN-PAS semasa PRN lalu?

Jentera propaganda kerajaan di PMO, JKOM, JAPEN mahupun KKD menerima banyak kritikan. Jentera kerajaan bukan sahaja tidak dapat menangkis dan mematahkan serangan PN-PAS, malah amat jauh untuk menyaingi jentera propaganda pihak lawan.

Natijahnya rakyat seolah-olah tidak mengetahui atau tidak yakin apa yang kerajaan perpaduan buat sejak lapan bulan memerintah. Atau rakyat begitu mudah termakan dengan fitnah dan pembohongan?

Biar apa pun, jawatan menteri KPDN tidak boleh dibiarkan kosong terlalu lama. Ini akan membentuk persepsi yang kerajaan seolah-olah ketandusan bakat yang layak dan berkaliber. Kerajaan juga tidak seharusnya melakukan rombakan besar-besaran kerana pembangkang boleh “spin” mengatakan Kabinet yang terdahulu banyak ‘mangkuk hayun’ yang tidak berfungsi.

Penentuan dan perlantikan menteri Kabinet secara tradisi mengikut peruntukan berdasarkan parti komponen dan jawatan Ahli Parlimen dalam sesebuah parti. Itu peraturan yang tidak bertulis. Tetapi hak mutlak di tangan perdana menteri.

Jika kita amati barisan Kabinet sebelum ini, Amanah diperuntukkan dua jawatan menteri dan dua jawatan timbalan menteri. Jawatan-jawatan itu diisi oleh presiden dan timbalan presiden sebagai menteri, naib presiden dan ketua Wanita sebagai timbalan menteri. Jika kaedah ini masih dikekalkan, siapakah Ahli Parlimen Amanah yang akan mengisi jawatan menteri KPDN?

Dari senarai Ahli Parlimen yang menang semasa PRU15 lalu, YB Kuala Selangor, YB Sri Gading, YB Shah Alam dan YB Hulu Langat adalah Ahli Parlimen Amanah yang belum ada jawatan menteri atau timbalan menteri. Daripada keempat-empat YB tersebut, YB Kuala Selangor merupakan yang paling “senior” dan menjawat jawatan pengarah strategik Amanah.

Apakah YB Kuala Selangor akan dipilih menerajui KPDN? YB Kuala Selangor pernah menjadi menteri kesihatan di zaman PM7 Tun Mahathir. Pengalaman menjadi menteri kesihatan ketika itu pastinya memberi kelebihan kepada beliau.

Ada juga pengkhabaran yang mengatakan PMX akan melakukan rombakan kecil? Berdasarkan jawatan dalam Amanah atau berdasarkan cadangan dari presiden Amanah, YB Alor Gajah yang sekarang menjadi timbalan menteri pertahanan akan dinaikkan pangkat ke jawatan menteri KPDN?

Jawatan timbalan menteri pertahanan boleh diisi oleh salah satu Ahli Parlimen dari Amanah. Itu semua satu kemungkinan. PMX yang akan memutuskan akhirnya. Ini mesti dilakukan secepat mungkin sebelum pembentangan Belanjawan 2024 akan datang.

Sepatutnya Ahli Parlimen Amanah dikekalkan sebagai pengganti almarhum di KPDN. Ini bagi memastikan legasi Rahmah yang viral daripada Salahuddin dapat diteruskan dengan penambah-baikan yang lebih “WOW”. Menteri baharu tidak mempunyai banyak masa untuk menghadam dan meneruskan legasi tersebut.

Perancangan PMX memberikan portfolio KPKM dan KPDN kepada presiden dan timbalan presiden Amanah sangat tepat bagi melicinkan perancangan dan pengurusan keseluruhan rantaian bekalan dan rantaian nilai keselamatan makanan negara.

Banyak lagi kerja-kerja yang belum terlaksana dan KPDN memerlukan kepimpinan yang berkebolehan dalam menangani titik bengit isu kepenggunaan dan kos sara hidup yang tidak menentu dalam iklim ekonomi dunia sekarang ini.

Isu harga kawalan ayam, telur bersubsidi, minyak masak, gula, beras, dan barang keperluan lain memerlukan menteri KPDN yang memiliki ilmu dan kepakaran ekonomi, perdagangan, dan kepenggunaan. KPDN harus mengimbangi keperluan perniagaan untuk terus berkembang dalam iklim pasaran bebas supaya bekalan barang keperluandi pasaran stabil dan tidak terbantut dan di masa yang sama harga yang ditawarkan tidak membebani rakyat.

Pastinya ketika almarhum masih hidup, koodinasi dalam bentuk pembentukan jawatankuasa bersama kedua-dua kementerian diwujudkan. Dengan keperluan untuk menguruskan subsidi ke tahap yang lebih lestari, mengurangkan ketirisan dan benar-benar sampai dan dinikmati oleh golongan yang disasarkan, kedua-dua kementerian ini harus bekerjasama lebih erat dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Terlalu banyak cabaran yang akan dihadapi oleh menteri KPDN yang baharu. Siapakah dia?

Tiada ulasan: