"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramai ‘ustaz Pas’ tak dapat cari makan, jangan sampai jadi penjaja di pasar minggu

HarapanDaily.com

Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak Pas Pusat, Mokhtar Senik secara terbuka mengaku bahawa ramai ‘ustaz Pas’ pada masa ini hilang sumber pendapatan.

Beliau yang kalah bertanding di Parlimen Padang Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) itu berkata, keadaan itu berlaku kerana penceramah terbabit  antara lain tidak mendapat tauliah mengajar agama Islam.

Bahkan, ramai ustaz Pas, dakwanya dihalang memberikan kuliah di masjid dan surau di dua negeri dikuasai parti tersebut iaitu Kedah dan Perlis.

“Sekarang ni ramai ustaz Pas (yang tidak ada kerja tetap) yang dihalang berkuliah di masjid-masjid dan surau kerajaan terutamanya di Selangor, Perak, Kedah dan Perlis atas isu tauliah dan pelbagai lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pimpinan Pas di peringkat kawasan dan negeri mengatur program agar penceramah terbabit dapat menyampaikan kuliah di markas-markas Pas.

Dia juga mengingatkan usaha tersebut perlu dilakukan bagi mengelak ‘ustaz Pas’ melakukan kerja-kerja lain seperti menjadi pemandu e-hailing dan penjaja di pasar minggu.

“Pakat-pakatlah ahli kawasan atau cawangan sumbang kepada tabung kuliah. Lagikan Palestin kita boleh sumbang.

“Takkan kepada asatizah kita yang bertahun-tahun dok curah ilmu dan ajak masyarakat faham Islam serta menyokong Pas, kita jadi beku fikiran dan berat tangan. Tahniah kepada kawasan yang dah buat.

“Maaf saya sebut. Jangan sampai ustaz-ustaz kita dan tok guru kita terpaksa jadi pemandu Grab dan penjaja di pasar minggu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, ramai mengecam kenyataan Mokhtar dengan antara lain mengingatkan pemimpin Pas berkenaan bahawa tidak hina menjadi pemandu e-hailing dan berniaga di pasar.

“Hina sangat ke kalau kerja Grab atau kerja pasar malam? Takkan nak harap duit ceramah saja. Amboi!

“Eloklah jadi pemandu Grab. Hasil pun halal, daripada dapat hasil buat fitnah.

“Bukan ada sangat ilmu pun, ceramah je. Cuba pi dengar ustaz-ustaz Pas, semua sama je,” demikian antara kecaman warganet terhadap kenyataan terbaharu Mokhtar itu.

Tiada ulasan: