"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerap turun padang jadikan Suhaizan calon ‘favourite’ di Pulai

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF
Rekod pencapaian calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat diyakini mampu menjadikan beliau sebagai calon ‘favourite’ untuk memenangi kerusi tersebut.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berpendapat, masyarakat di kawasan tersebut sangat mengenalinya dan beliau adalah seorang tokoh yang sering turun padang.

“Beliau (Suhaizan) sering turun padang membantu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub khususnya di kawasan Pulai dan sudah pasti dengan kedudukan demografi Pulai iaitu hampir 40 peratus pengundinya berketurunan Cina, akan memberi kelebihan kepada Suhaizan dan juga kumpulan orang Melayu majoriti di Pulai adalah kumpulan partisipan yang lazimnya memberi sokongan kepada PH.

“Secara asasnya, Suhaizan ini adalah orang yang cukup dikenali di sekitar kawasan khususnya di Pulai, Pontian dan juga di Tanjung Piai.

“Itu adalah kawasan di mana dalam karier politiknya, beliau pernah menjadi aktivis politik sambil memberi khidmat kepada rakyat.

“Beliau juga adalah Ketua AMANAH bagi kawasan Pulai dan ini menunjukkan Suhaizan adalah seorang pemimpin peringkat akar umbi yang memang memainkan peranan penting dalam politik negeri Johor,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau mengulas demikian apabila ditanya tentang tahap keyakinan pengundi di parlimen tersebut khususnya kepada calon daripada AMANAH itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) 9 September nanti.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan berpandangan, Suhaizan merupakan calon yang paling berwibawa untuk menggantikan arwah Salahuddin di parlimen berkenaan.

“Kita difahamkan beliau adalah anak didik arwah. Jawatan terakhir beliau adalah Setiausaha Politik di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

“Ini menunjukkan beliau adalah orang yang paling berwibawa dan layak untuk menggantikan Salahuddin di kawasan Parlimen Pulai.

“Jawatan terakhir beliau selaku Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor juga meletakkannya setara dengan tokoh-tokoh politik utama di negeri tersebut.

“Setelah masyarakat Pulai kehilangan Salahuddin dengan pemergian yang agak mengejut itu, kesedihan dialami orang-orang Pulai yang memberikan majoriti 33,000 kepada arwah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu akan terubat jika Suhaizan menang di kawasan tersebut, sekali gus dapat memainkan peranannya menyambung legasi perjuangan arwah Salahuddin,” ujarnya.

Untuk rekod, Suhaizan akan berdepan saingan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai dan Samsuddin Mohd Fauzi yang bertanding atas tiket Bebas.

Tiada ulasan: