"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN mesti bukti mampu tadbir demi tarik pengundi

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mesti membuktikan kebolehan mentadbir untuk memikat pengundi di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata memandangkan peningkatan sokongan menembusi Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang pada PRN baru-baru ini, gabungan itu kini perlu tumpu membangunkan Kedah, Kelantan, dan Terengganu untuk menyakinkan pengundi di negeri ditadbir PH bahawa ia mempunyai kemampuan memerintah.

Katanya, PN boleh menjadi pilihan alternatif kepada pengundi di negeri dikawal PH dengan menunjukkan prestasi kejayaannya di negeri dikuasai gabungan tersebut.

Selain ekonomi, Mazlan berkata, antara faktor lain mampu mempengaruhi pengundi adalah “pengurusan sumber manusia, ketelusan, kebertanggungjawaban, sifar rasuah dan penyampaian yang baik”.

“Itulah sepatutnya PN buat untuk mengukuhkan pengaruhnya di negeri ditadbir PH,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PN mesti melipatgandakan pelaburan di negeri utara, meningkatkan pelancongan dan memperkasa kapasiti dalam industri teras untuk setiap negeri di wilayah itu, seperti pertanian di Kedah dan Perlis.

Mazlan berkata, hakikatnya PN masih mampu mengekalkan sokongan diraih pada PRU15 walaupun kurang memainkan retorik kaum dan agama pada PRN enam negeri baru-baru ini, menjadi petanda baik untuk gabungan itu.

Pada PRN 12 Ogos, PN menang bergaya di Terengganu, Kelantan, dan Kedah. Gabungan berkenaan juga meningkatkan pengaruhnya di Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang apabila menang lebih kerusi selain meraih pertambahan undi.

Di Selangor, PN berjaya menghalang PH menang dengan majoriti besar. Gabungan tersebut turut menang lima kerusi di Negeri Sembilan walaupun tidak menang sebarang kerusi pada PRU 2018.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata PN perlu meletak kedudukannya sebagai “pembangkang yang baik” di peringkat persekutuan dan negeri ditadbir kerajaan perpaduan.

Katanya, menerusi cara itu gabungan berkenaan berada pada kedudukan terbaik untuk menarik undi bukan Melayu.

“Jika PN mahu menjadi kerajaan persekutuan, tidak cukup hanya menarik pengundi Melayu sahaja; mereka juga perlu menarik pengundi bukan Melayu,” katanya.

Tiada ulasan: