"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu kerakyatan China: Razali, Pas diberi 24 jam buat permohonan maaf

HarapanDaily.com
Isu kerakyatan China: Razali, Pas diberi 24 jam buat permohonan maaf
SITI NUR ZAWANI
Seorang wakil rakyat DAP memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Pas untuk membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik semula dakwaan berhubung pemberian kerakyatan kepada 54,000 warga China.

Ia selepas Bersatu tetap mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan pemberian kerakyatan besar-besaran walaupun tiada bukti yang kukuh.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kenyataan berbaur fitnah serta memperlekehkan kedaulatan negara itu masih diteruskan oleh Razali dan Pas, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah pun menafikannya.

“Pihak kerajaan telah pun menafikan dakwaan tersebut kali pertama ia tersebut muncul di ruang-ruang maya pada awal bulan ini.

“Oleh yang demikian, kenyataan Razali dan Pas adalah berbaur fitnah, penuh pembohongan serta memperlekehkan kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Razali berkata Bersatu tetap mahu SPRM menyiasat dakwaan tersebut.

Gesaan yang sama dibuat di akaun Twitter Pas Pusat pada sehari sebelumya, 28 Ogos.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum ini menjelaskan bahawa angka 54,000 adalah permohonan dari 2017 hingga 2022. Ia sama sekali tidak membabitkan tahun 2023.

Beliau juga menegaskan, daripada jumlah itu, hanya 45 individu sahaja diberikan kerakyatan.

Sementara itu Lim menambah, kenyataan Razali dan Pas telah pun melanggar akta-akta antara lain; Seksyen 499, 504, 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1) dan 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Justeru itu, saya memberi tempoh 24 jam kepada Razali dan Pas yang membuatkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat tersebut supaya memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan berkaitan atau pihak saya akan membuat laporan polis terhadap mereka.

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” ujarnya.

Tiada ulasan: