HarapanDaily.com
ARIF ATAN
Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan sekatan terhadap beberapa portal berita yang menyiarkan kandungan tidak wajar perlu difahami dibuat berdasarkan kepentingan negara.
Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin berkata, sebarang tindakan yang diambil SKMM bukan secara sembrono atau diputuskan hanya atas lagak sebagai ‘abang besar’ tanpa pertimbangan atau kajian.
“SKMM bersifat budiman dan membuat pertimbangan yang matang demi menjamin keharmonian negara.
“Jauh sekali tindakan itu diambil semata-mata kerana kritikan yang dibuat terhadap kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau yang pernah menjadi Penerima Anugerah Kajai dan Penerima Anugerah Belia Negara (Kategori Wartawan) berkata demikian mengulas teguran sekumpulan wartawan veteran yang membantah tindakan SKMM terhadap beberapa portal berita.
Kumpulan itu terdiri daripada bekas Pengerusi Media Prima, Johan Jaaffar; Tokoh Wartawan, A Kadir Jasin; pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Hussamuddin Yaacob dan bekas Pengurus Besar Bernama, Azman Ujang.
Turut menegur kerajaan Madani melalui SKMM ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Chamil Wariya; bekas Ketua Pengarang Bernama, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab serta bekas pengarang yang kini penganalisis politik, G Manimaran.
Mengulas lanjut, Noraini yang juga perunding media berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara umumnya adalah sangat terbuka dan sedia menerima kritikan.
“Bahkan, (Kerajaan Perpaduan) kerapkali dihentam atau dibalun dengan keras oleh pelbagai pihak melalui pelbagai platform media.
“Tetapi, demi kepentingan negara dan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk jangka panjang, kandungan yang mengelirukan, tidak tepat serta boleh membawa kesan buruk sudah semestinya harus dipantau dan disekat.
Kandungan palsu dan fitnah patut disekat bagi memelihara ketenteraman dan keharmonian rakyat.
“Ini kerana, jika tidak diawasi dan disekat, ‘ bom jangka’ ‘pergaduhan dan ‘rusuhan’ boleh meletus bila-bila masa saja.
“Jika sampai itu yang berlaku, siapa yang rugi akhirnya?” soalnya lagi.
Beliau yang juga Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat berkata, dalam apa juga perkara, kebebasan mutlak lebih mungkin membawa keburukan daripada kebaikan.
“Di rumah, di sekolah, di tempat kerja dan pelbagai aktiviti lainnya, semua mesti ada peraturan atau kepatuhan yang mengawalnya.
“Dengan dikenali sebagai bekas wartawan ternama lagi dihormati dan ‘tauke’ media, lapan tokoh yang memberi teguran terhadap SKMM itu tentu masih ingat bahawa ketika mereka menjadi ketua sebelum ini atau masih lagi mengetuai media sehingga sekarang, tulisan wartawan bawahan mereka pun perlu ditapis dan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan,” hujahnya.
Sehubungan itu, beliau yang berpengalaman sebagai wartawan akhbar arus perdana lebih 25 tahun berpendapat proses yang sama juga dilakukan SKMM dalam ‘dunia langit terbuka’ pada masa ini berikutan kebanjiran portal bebas atas talian.
“Tanpa sebarang awasan atau sekatan, bebas melapor dan menulis apa saja, seterusnya bebas pula dibaca oleh semua, percayalah, bukan lebih banyak tamadun akan terbina, sebaliknya hanya kemusnahan yang akan menjelma.
“Dalam hal ini, tiada sikap ‘abang besar’ dalam tindakan SKMM itu, sebaliknya untuk memastikan agar negara ini terus selamat untuk diwarisi kepada anak cucu kita semua,” kata Noraini lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan