"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita cuba salam Ustaz Wadi Annuar dihalang pihak keselamatan

KOSMO!
PETALING JAYA – Cubaan seorang peminat wanita kepada pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar untuk bersalam dengan cara memakai sarung tangan digagalkan apabila pihak keselamatan bertindak pantas.

Menerusi video yang dimuat naik oleh @ynfq09 yang tular di media sosial sejak semalam, difahamkan ia berlaku pada minggu lepas ketika Ustaz Wadi Annuar datang ke Terengganu untuk menyampaikan ceramahnya.

Ketika kejadian, Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub ingin memasuki kereta namun diasak dengan para peminat yang ingin mengambil gambar.

Setelah Ustaz Wadi Annuar berjaya duduk dalam kereta, orang ramai berebut-rebut untuk salam termasuklah seorang wanita yang menghulurkan tangannya yang bersarung.

Melihat perkara itu, pihak keselamatan Ustaz Wadi Annuar sempat menghalang tindakan wanita tersebut sambil meminta maaf.

“Ustaz Wadi Anuar terselamat! Cubaan wanita mahu bersalam dengan cara memakai sarung tangan. Team (pasukan) keselamatan bertindak dengan pantas. Alhamdulillah,” tulis pemilik akaun TikTok @ynfq09.

Sehingga kini video tersebut mendapat tontonan lebih 1 juta, 42,000 tanda suka dan 3,697 perkongsian.

Tinjaun Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mendoakan agar Ustaz Wadi Annuar dilindungi daripada fitnah dan menasihatkan wanita lain untuk tidak berkelakuan yang sama.

“Semoga Ustaz Wadi dijauhi dari fitnah dan dapat terus menyebarkan ilmu Allah. Amin,” komen Jujie.

“Ini bukan sorang tau. Sebelum-sebelum ini pun ada perempuan nak salam ustaz. Aduh sabar je lah. Dugaan tu,” komen Lela.

“Mak ai, janganlah sampai begitu. Semua sayangkan Ustaz Wadi tetapi tidak sepatutnya apa yang terjadi tu. Semoga ustaz sentiasa dalam lindungan Allah,” komen seorang pengguna yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: