"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selepas Jitra, YB Pas Ijok pula minta rakyat tolong tapi tarik balik

HarapanDaily.com
Selepas Jitra, YB Pas Ijok pula minta rakyat tolong tapi tarik balik
Semasa berkempen, sibuk berjanji akan tolong menyelesaikan masalah rakyat tetapi apabila sudah bergelar ‘YB’ rakyat pula yang kena bantu.

Itu situasi yang berlaku pada beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas yang selamba memohon bantuan rakyat diwakilinya.

Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah bulan lalu mengaku resah dengan kos sewaan premis agak tinggi, nama ADUN Ijok pula hangat diperkatakan.

Menerusi poster memohon sumbangan yang disiarkan, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN N11 itu memerlukan lapan jenis kelengkapan iaitu set komputer, pencetak dan perabot pejabat.

Turut diperlukan pejabat ADUN pembangkang di Selangor itu ialah peti ais, papan putih, set sofa dan akses internet Unifi.

Malah, mengundang lucu warganet, YB Pas juga memohon sumbangan berupa ‘signboard’ PKM bagi mengisi ‘Tabung Infaq’ yang dilancarkan itu.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat membantu ADUN N11 untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih tersusun dan berkesan,” dipetik dari poster tular itu.

Dilengkapi nombor telefon dan nombor akaun bank, poster itu juga tampil dengan tanda pagar PN Tetap Best, Nafas Baharu Ijok dan Bakti Untuk Ijok.

Walau bagaimanapun, poster itu ditarik balik dari laman Facebook Jefri Mejan Officials selepas dihujani kritikan dan sindiran orang ramai.

“Kami di pihak Pejabat Khidmat Dun N11 Ijok menarik semula poster sumbangan.

“Kami mohon maaf di atas kesilapan teknikal yang terjadi,” kata pentadbir akaun rasmi wakil rakyat Pas berkenaan.

Orang ramai berpendapat pengundi Pas terbukti telah melakukan kesilapan besar apabila dianggap memilih ‘peminta sedekah’ sebagai wakil rakyat.

Ada juga penduduk tempatan di Ijok memberitahu, pemohonan Tabung Infaq bagi memohon sumbangan peralatan pejabat ADUN itu agak ‘pelik’ memandangkan Jefri sebelum ini adalah jurutera.

“Pelik juga, dia ni kontraktor. Rumah besar tapi nak buat pejabat minta duit sumbangan.

“Orang Ijok dah kena ‘lipak’,” dipetik dari tangkap layar yang tersebar di media sosial.

Semakan Harapan Daily mendapati ADUN Ijok, Jefri Mejan, 44, mempunyai Ijazah Sarjana Muda Mekanikal pada 2004 dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Pempengaruh TikTok itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan lalu dengan majoriti tipis 907 undi.

Kemenangan Jefri yang juga bekas Timbalan MSN Selangor itu adalah percubaan kali keduanya selepas PRU14.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Ijok dimenangi bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,920 undi.

Selepas itu, pada PRU13 dan PRU14 pula, kerusi di bawah Parlimen Kuala Selangor tersebut dimenangi Dr Idris Ahmad dari PH.

Bagaimanapun, pada PRN bulan lalu, Dr Idris tidak dicalonkan sebaliknya digantikan dengan Amidi Abdul Manan juga dari PKR.

Tiada ulasan: