"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita warga emas ditemui rentung di lorong jalan

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
 LOKASI kejadian wanita ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
 LOKASI kejadian wanita ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Petaling Jaya: Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 3.46 pagi tadi.

"Susulan itu, sebuah kereta peronda polis (MPV) bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa adalah seorang wanita lingkungan 60-an yang terbakar kira-kira 80 peratus di badannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan dilakukan mendapati terdapat pemetik api serta botol berhampiran mangsa di lokasi kejadian.

"Pihak polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sama ada mangsa membakar dirinya atau ada unsur lain.

"Pada masa sama, kita juga akan memangiil saksi yang melihat insiden itu bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan mati mengejut dibuka untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: