FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengelar isterinya beberapa kali sebelum mencederakan dirinya sendiri dalam satu kejadian di Lebuhraya Kesas berhampiran Kota Bayu Emas di Klang.
Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pasangan berkenaan yang menaiki kereta jenis Mazda CX5 dalam perjalanan menuju ke kedai makan.
Katanya, ketika dalam perjalanan berlaku perselisihan faham menyebabkan suspek yang berusia 50 tahun menghentikan keretanya di tepi Lebuhraya Kesas.
“Suspek kemudiannya mengeluarkan pisau pemotong dan bertindak mengelar isterinya yang berusia 49 tahun beberapa kali. Mangsa yang ketakutan keluar dari kereta itu untuk meminta bantuan orang ramai.
“Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberi bantuan, suspek terus melarikan diri menaiki keretanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Cha berkata kenderaan itu kemudiannya dikesan berhenti di Jalan Batu Nilam dan anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta.
“Anggota polis kemudiannya bertindak memecahkan tingkap untuk membuka pintu sebelum menyelamatkan suspek dengan bantuan pihak ambulans.
“Suspek yang mengalami luka kelar di kedua-dua belah pergelangan tangan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya.
Menurutnya, isteri suspek yang mengalami kecederaan luka kelar di leher, bahu, tangan kaki dan belakang juga dirawat di hospital yang sama.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Cha berkata polis mengesan beberapa video berkaitan kejadian ini tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai tidak menularkan atau berkongsi video berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan