"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita warga emas bersama anak lelakinya ditahan disyaki edar dadah RM1.23 juta

Bernama
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Ibu dan anak antara tiga individu ditahan dipercayai terlibat sindiket pengedaran dadah RM1.23 juta dalam serbuan sekitar daerah ini dan Iskandar Puteri, pada 10 hingga 14 Jan.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata wanita berusia 61 tahun dan anak lelaki berusia 40 tahun serta seorang rakan lelaki berusia 59 tahun itu, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dalam satu operasi khas.

Beliau berkata, ketiga-tiga individu itu dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah dalam pasaran tempatan, sejak Oktober tahun lalu.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan sebuah pangsapuri yang disewa di sini sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan.

“Malah, sindiket yang dipercayai didalangi lelaki berusia 40 tahun itu, turut melakukan kerja memproses dan membungkus dadah tersebut,” katanya pada sidang media di IPK Johor.

Beliau berkata, rampasan dadah RM1.23 juta itu antaranya melibatkan 16.47kg serbuk ekstasi, 7.77kg ganja, dan 1.77g syabu.

Kamarul berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan mencetak pil ekstasi termasuk pencetak, pengisar, penimbang, loyang, penapis, dan lima butir peluru hidup.

Sementara itu, beliau berkata hasil siasatan mendapati, lelaki berusia 40 tahun tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 46 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah selain dikehendaki dalam enam kes.

Beliau berkata, reman ketiga-tiga individu tersebut disambung hingga 23 Jan selepas ditahan seminggu sejak 11 Jan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Tiada ulasan: