Mohsin Abdullah
Pelik permintaan Najib Razak melalui peguamnya, Shafee Abdullah, supaya kerajaan melarang Netflix daripada terus menayangkan dokumentari “Man on the Run” dibuat semasa tersiarnya berita mendakwa Lembaga Pengampunan akan bersidang pada minggu ketiga bulan ini. Begitu juga timing kenyataan Pemuda Umno dikeluarkan yang mendesak tindakan serupa diambil kerajaan. Terancang atau kebetulan?
Sebelum diteruskan perkara ini penting ditanya dahulu – betul ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan diadakan beberapa hari daripada sekarang? Ini mengambil kira dakwaan ia akan berlangsung “minggu ketiga bulan ini”. Jika betul adakah permohonan Najib untuk mendapat pengampunan akan dibawa ke mesyuarat itu?
Yang broke the story ialah CNA. Media Singapura itu mendakwa keputusan sama ada Najib akan diberi royal pardon atau tidak akan ditentukan pada mesyuarat pada minggu ketiga Januari 2024″. Jika tanya CNA pasti ia akan berpegang teguh akan laporannya.
Tanya kepada peguam Najib jawabannya Najib sendiri tidak tahu jika Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat bulan ini untuk membincangkan permohonan pengampunannya. Itu kata Shafee menerusi satu kenyataan.
Kata beliau lagi, “kami sebagai peguam Najib tidak pernah dimaklumkan (seperti mana kes lain) berkenaan langkah yang diambil Lembaga Pengampunan (jika ada) berkaitan permohonan pengampunan anak guam kami.” Disambung “maka kami tergamam bagaimana CNA telah membuat spekulasi dengan berita tidak berasas ini.”
Difahamkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merangkumi Yang di-Pertuan Agong, menteri Wilayah Persekutuan, peguam negara, dan tiga anggota yang dilantik Agong. Menurut Shafee, tiga anggota itu adalah rahsia. Tarikh mesyuarat juga tidak didedahkan. “Maka jelas jika lembaga bertemu untuk mempertimbang permohonan Najib ia akan dijalankan secara rahsia kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata beliau.
Pun begitu permintaan Najib supaya dokumentari “Man On The Run” dihenti siaran di rangkaian Netflix seperti dikata pada awal artikel ini dibuat di tengah-tengah heboh berita Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat. Saya ulangi begitu juga timing desakan Pemuda Umno.
Why now? Ertinya mengapa sekarang memohon dan mendesak dokumentari itu diturun dan dihenti siaran padahal sebelum ini tiada bantahan sama ada rasmi atau secara terbuka apa lagi lantang apabila “Man On The Run” disiar di panggung wayang.
Ketua Pemuda Umno, Muhammad Akmal Saleh, mendakwa dokumentari itu “berat sebelah dan lebih bersifat propaganda berbanding mengupas isu dengan profesional dan beretika.” Puad Zarkashi, ahli majlis kerja tertinggi Umno, seperti dijangka bersetuju (iyalah tak kan berlainan pendapat pula dengan sayap Pemuda partinya). Beliau pula mendakwa “Man On The Run” itu “bersifat prejudis, fitnah, dan tidak adil terhadap Najib yang sedang dalam perbicaraan.”
Benar Najib dalam perbicaraan yakni tiga kes profil tinggi termasuk 25 pertuduhan membabitkan RM2.3 billion, enam kes jenayah pecah amanah membabitkan RM6.6 billion, dan pengubahan wang haram bersabit RM27 juta. Namun beliau sudah didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi negara dalam kes SRC International dan sedang menjalani hukuman penjara.
Apa pun bagi Puad, aduan peguam Najib berasas. Lalu pada pendapat beliau “Man On The Run” mesti dihenti siaran. Saya rasa umum tahu antara yang ditemubual dalam dokumentari itu ialah pegawai penyiasat FBI, wartawan yang membongkar skandal 1MDB, dan Anwar Ibrahim yang waktu itu ketua pembangkang. Rasanya Akmal dan Puad juga tahu siapa yang ditemubual dalam “Man On The Run”.
Berbalik persoalan saya tadi – mengapa sekarang? Dokumentari Amerika Syarikat arahan Cassius Michael Kim itu berkisar skandal 1MDB, peranan Najib dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low. Ia ditayang 19 Okt tahun lalu di beberapa pawagam pilihan. Maksudnya tayangan terhad.
Semasa saya menontonnya, panggung hanya dipenuhi beberapa orang termasuk saya dan isteri. Mungkin menonton waktu tengah hari pada hari bekerja menyumbang faktor panggung kosong. Atau promosi tidak kuat maka tidak ramai tahu akan tayangannya. Mungkinkah orang Malaysia sudah faham mengenai 1MDB, Najib dan Jho Low lalu merasa tidak perlu tonton? Secara peribadi saya enjoyed the documentary yang memberi saya pelbagai pencerahan. Sayangnya tayangan di pawagam tidak lama. Mungkin dua minggu saya tidak pasti.
Seperti dikata tadi tiada siapa yang buat bising waktu itu. Tetapi sebaik disiar di Netflix, Umno dan peguam Najib membantah keras. Dokumentari itu mula disiar Netflix 5 Januari. Ia diselar peguam Najib tiga hari kemudian dan menuntut siaran dihentikan.
Menurut Malay Mail, “Man On The Run” menduduki ke tangga kedua dalam senarai Top 10 movies di Malaysia menerusi Netflix. Lonjakan dicapai setelah kenyataan keras peguam Najib.
Saya tertanya adakah kerana Netflix punya reach atau jangkauan panjang dan boleh ditonton jauh lebih ramai berbanding di panggung wayang mendorong peguam Najib dan Umno membuat desakan mereka?
Apa pun sebaik sahaja desakan dibuat, reaksi awal Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah kerajaan akan mempertimbangkan dan kemudian beliau menyerahkan kepada Kementerian Komunikasi meneliti dan pertimbangkan permintaan (baca: desakan) Najib dan Umno.
Pelbagai pihak terkejut dan tidak puas hati dengan respon Anwar. Mereka termasuk NGO Lawyers for Liberty atau LFL. Badan itu mahu kerajaan jangan layan Najib yang mahu dokumentari itu diturunkan.
Menurut pengarah LFL, Zaid Malek, tindakan Putrajaya mempertimbangkan atau membenarkan permohonan sedemikian melanggar undang-undang kerana Netflix tidak tertakluk bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di samping bertentangan hak kebebasan bersuara.
Reaksi terbaharu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ialah kerajaan belum buat keputusan. “Ada beberapa pandangan awal yang telah disampaikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tetapi saya rasa ia perlu diberikan beberapa pertimbangan yang berlandaskan undang-undang kerana ia melibatkan kes mahkamah.”
Lantas beliau akan adakan pertemuan dengan SKMM dalam masa terdekat terutamanya bagi meneliti aspek perundangan sebelum boleh buat pengumuman. Hakikatnya ramai (oleh kerana saya do not have the numbers saya gunakan istilah ‘ramai’ instead of ‘majority‘) dalam kalangan rakyat mahu kerajaan tidak melayan permintaan henti siaran “Man On The Run” di Netflix. Sila lihat ruangan komen portal berita dalam talian dan media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan