ROHANA MOHD. NAWI
ANGGOTA bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di Sungai Kelantan, di Kampung Tendong, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI.
KOTA BHARU: Seorang peniaga produk kosmetik sempat menghubungi bapa mentuanya agar datang mengambil keretanya yang rosak sebelum dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Ismail Petra, di sini semalam.
Abang kepada mangsa, Sukardi Ismail, 47, berkata, adiknya, Norhisyam Ismail, 43, berpesan kepada bapa mentuanya untuk datang mengambil kereta jenis Mercedes Benz E250 CGI kerana ia mengalami kerosakan semasa berada di atas jambatan tersebut.
Menurutnya, dia yang kini menetap di Kedah mengetahui kejadian itu selepas melihat berita mengenai seorang lelaki yang disahkan identiti merupakan adiknya di Facebook kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
“Saya lihat nombor pendaftaran pada kereta itu dan ia memang milik Norhisyam. Saya terus bergegas untuk pulang ke Kelantan malam tadi menaiki penerbangan dari Alor Setar sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan tiba di Kota Bharu pagi tadi.
“Isteri mangsa ada memaklumkan bahawa Norhisyam tidak mempunyai sebarang masalah peribadi, penyakit atau hutang ketika menjalankan perniagaan produk kosmetik,” katanya ketika ditemui pemberita di Jambatan Tendong di sini hari ini.
Sukardi memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa kira-kira sembilan bulan lalu sebelum dikejut dengan kejadian tersebut semalam.
Katanya, dia tidak banyak mengetahui perkembangan kehidupan adiknya kerana sudah lama terputus hubungan selepas kedua ibu bapa meninggal dunia.
“Saya tahu dia berniaga produk kosmetik di Wakaf Che Yeh di sini. Meskipun menjalankan perniagaan, saya rasa dia tidak mempunyai masalah bebanan hutang yang besar,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas kira-kira pukul 6.48 petang semalam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan dengan kerjasama pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak semalam.
“Polis masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Semua pihak diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian itu demi menghormati privasi keluarga mangsa,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Ismail Petra.–UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan