"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wow!!! Ada seorang pendakwah selebriti mengenakan bayaran RM30,000 hingga RM40,000 untuk satu kemunculan

Pendakwah harga premium

Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Istilah 'tunggang agama' kerap dilontarkan terhadap segelintir pendakwah kononnya menggunakan populariti untuk mengenakan harga mahal bagi berceramah dan sebagainya.

Pada masa sama, wujud juga situasi yang mana segelintir pendakwah menerima bayaran tidak masuk akal rendahnya atau ada yang tidak dibayar langsung kerana dianggap sekadar berdakwah.

Namun, tidak kurang juga yang menjadikan populariti diri sebagai alasan untuk meletakkan harga tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Malah ada pendakwah yang mengenakan kadar mengikut jam.

Berkongsi kisah pendakwah mengenakan harga mahal, seorang penganjur acara membabitkan program keagamaan yang enggan dikenali mendakwa, seorang pendakwah selebriti mengenakan bayaran RM30,000 hingga RM40,000 untuk satu kemunculan.

"Di Malaysia ada ramai penceramah, ustaz dan ustazah termasuk yang digelar pendakwah selebriti. Ada antara mereka yang tidak menetapkan harga, begitu juga yang meletakkan harga berdasarkan 'rate card' mereka.

"Jika tawaran ditolak, mereka tidak menyatakan sebab sama ada ia harga murah atau sebaliknya. Mungkin sebab tak nak nampak yang mereka tolak disebabkan bayaran.

"Namun, sejak kemunculan media sosial dan penggunaannya secara meluas termasuk dalam bidang dakwah ini, ada pendakwah yang meletakkan harga tinggi mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.

Menurut beliau, alasan diberikan adalah komitmen pendakwah terhadap syarikat dan pasukan yang turut serta dalam menjayakan program itu.

"Itu belum lagi pendakwah yang menetapkan kadar bayaran mengikut jam. Saya pernah bekerjasama dengan seorang pendakwah ini untuk penggambaran sebuah program televisyen.

"Kadar dikenakan antara RM1,500 hingga RM1,800 sejam. Bayangkan kalau rakaman itu mengambil masa selama 10 jam, berapa dia boleh dapat? Memang sekali itu saja saya jemput dia," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tidak adil untuk menuduh kesemua pendakwah memanipulasi soal bayaran kerana majoritinya tidak sebegitu.

"Perkara membabitkan agama ini memang sensitif. Kalau salah bual, boleh jatuh fitnah. Apa yang boleh dikatakan, tidak semua pendakwah begitu.

"Pernah juga saya berdepan pendakwa yang tidak meletakkan harga sebaliknya, pengurus atau pembantu peribadi yang mengenakan bayaran tinggi. Apabila ustaz berkenaan tahu mengenainya, individu terbabit terus dipecat," katanya.

Menurutnya, ada juga pendakwah yang mengambil pendekatan untuk tidak membuka 'sampul' disumbang penganjur seperti masjid atau surau.

"Sebaliknya, dia akan kumpul saja. Jadi, pendakwah berkenaan tidak tahu jumlah yang diberikan masjid atau surau itu," katanya.

Menurutnya, pendakwah ini juga adalah manusia biasa yang tidak boleh lari daripada khilaf.

"Saya pernah berdepan dengan situasi yang mana pendakwah meminta bayaran tambahan disebabkan kehadiran tetamu atau penonton yang ramai untuk program yang dihadiri," katanya
PU Riz
PU Riz
Kalau dipanggil baca doa, takkan nak kenakan bayaran RM900

"Agama bukan untuk dijual beli," kata pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 29.

Menurutnya, golongan penceramah sentiasa berada dalam 'dilema' yang mana mereka tidak tahu untuk meletakkan kadar bayaran bagi jemputan program atau ceramah agama.

Menurutnya, jika ada golongan agamawan yang didakwa meletakkan harga mencecah puluhan ribu ringgit, ia boleh dianggap melampau.

"Golongan ustaz ini tidak tahu nak letak harga berapa. Sebagai contoh, kalau dipanggil untuk baca doa takkan nak kenakan bayaran RM900. Kiranya, bayaran ini bergantung pada keadaan. Tapi, kalau ada yang letak sampai puluhan ribu ringgit, itu melampau.

"Bagi saya, tidak perlu tetapkan berapa harga untuk datang berceramah. Pada masa sama, penganjur perlu munasabah. Saya pernah pergi berceramah di surau di Cameron Highlands, mereka bagi duit minyak saja. Jadi, dalam perkara ini perlu bersederhana dalam erti kata memahami," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah berdepan pengalaman menggantikan seorang pendakwah bebas pada saat akhir selepas penganjur tidak mampu membayar individu itu.

"Kejadian ini berlaku pada awal kemunculan saya dalam bidang ini. Saya dijemput untuk memberikan ceramah pada sebuah program. Ketika itu tak tahu pun saya kena menggantikan orang lain. Saya terima saja sebagai satu jemputan.

"Sampai di sana, penganjur mengucapkan terima kasih kepada saya sebab sudi terima pelawaan mereka kerana penceramah sebelumnya mengenakan bayaran puluhan ribu ringgit. Jadi, penganjur cakap mereka tak mampu dan pendakwah itu pun menolak.

"Dalam perkara ini, sejujurnya saya tidak pernah letak harga, tapi kena masuk akal dalam soal bayaran. Penganjur perlu juga ambil kira faktor lain. Macam saya katakan, bersederhana dalam erti kata memahami," katanya.
Ustazah Asni Mansor
Ustazah Asni Mansor
'Ceruk pedalaman pun saya masuk'

Pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor menafikan meletakkan harga tertentu untuk kehadirannya.

Menurutnya, walaupun sering menerima undangan untuk program televisyen atau melakukan usrah bersama golongan artis, dia tidak pernah memilih undangan ceramah mahupun meletakkan bayaran tertentu.

"Saya tidak pernah memilih tempat undangan. Semua tempat saya jejak untuk sampaikan dakwah, baik di ceruk pedalaman mahupun di dalam penjara. Mana-mana undangan saya terima.

"Pada pandangan saya, soal bayaran perlu ada give and take dalam perbincangan. Pendakwah tidak wajar meletakkan harga yang terlalu tinggi sehingga puluhan ribu ringgit. Jangan ambil kesempatan di atas ruang dan penghormatan yang diberikan masyarakat.

"Jika ada yang berasakan harga itu wajar kerana mereka popular atau ilmu mereka tinggi, ketahuilah bahawa ilmu dalam dakwah biar Allah SWT sahaja yang menilai. Ini kerja yang boleh dikatakan minta salah, tak minta pun serba salah," katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk masyarakat memiliki pemikiran bagi memberikan bayaran kepada pendakwah pada kadar sepatutnya kerana mereka juga mempunyai keperluan hidup.

Asni turut mendedahkan pernah ditipu soal bayaran yang mana bayaran diterimanya kurang RM800 daripada apa yang dipersetujui.

"Saya pernah berhadapan dengan situasi yang mana tiada bayaran langsung. Saya juga pernah berada dalam situasi jumlah yang saya dapat kurang hingga beratus ringgit berbanding dengan apa yang dipersetujui.

"Maka saya pulang sahajalah, reda dan berharap Allah SWT ganti dengan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, pelakon, Adam Corrie mendedahkan, bayaran sebagai pendakwah bebas lebih berbaloi berbanding bekerja dalam bidang lakonan.

Adam yang memeluk Islam pada 2007 ketika berusia 39 tahun berkata, bayaran yang diterima lebih 'masuk akal'.

"Saya pernah dibayar RM4,000 untuk bercakap selama 20 minit. Saya hanya berkongsi cerita penghijrahan saya tanpa membabitkan soal harga. Saya ikhlas kerana Allah SWT, tetapi saya dibayar lebih daripada bayaran untuk berlakon.

"Berbanding bayaran yang saya dapat sebagai pelakon, saya pernah diminta untuk habiskan beberapa babak dalam masa sehari dan cuma dibayar RM500," katanya.

Belajar daripada pengalaman, Adam kini tidak lagi berharap kepada manusia kerana mereka juga adalah makhluk Tuhan.

"Sejujurnya, sekarang saya tidak lagi berharap pada sesiapa. Bukan mereka (manusia) yang beri saya rezeki. Cuma rezeki itu diberikan melalui manusia. Yang memberinya adalah Allah SWT.

"Saya sudah berhenti berharap daripada sesiapa pun. Apa yang saya lakukan sekarang ialah bangun jam 4.30 pagi untuk menghadap 'Dia' (Allah SWT), solat sunat dan minta daripada-Nya.

"Kalau tidak dapat di dunia, mungkin di sana. Sekarang, bila jumpa mana-mana penerbit atau pengarah, saya tidak akan tanya langsung tentang 'job'. Sebab, saya pernah ditendang seperti bola, kerana dianggap menagih tawaran daripada mereka," katanya.

Tiada ulasan: