"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berang pesawat lewat, penumpang tampar juruterbang

Agensi
FOTO tular di aplikasi X menunjukkan insiden berkenaan.
FOTO tular di aplikasi X menunjukkan insiden berkenaan.
New Delhi: Seorang penumpang syarikat penerbangan India, IndiGo Airlines, ditahan kerana menampar juruterbang selepas berang apabila pesawat itu lewat berlepas akibat cuaca buruk, lapor media India.

The Straits Times memetik Hindustan Times melaporkan, Insiden itu berlaku pada 14 Januari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di sini.

Pesawat itu, dijadualkan terbang dari sini ke Goa, dilaporkan lewat 13 jam, kerana kabus tebal menyelubungi sebahagian besar kawasan di bahagian utara India.

Lebih 100 penerbangan ditangguhkan di Delhi, pada 14 Januari lalu, tetapi ia kembali beroperasi pagi keesokannya.

Video dimuat naik oleh pengguna Instagram (IG) @EvgeniaBelskaia pada hari kejadian menunjukkan juruterbang membuat pengumuman apabila seorang penumpang memakai hoodie kuning meluru ke arahnya.

Penumpang itu menghayun tangannya dan menampar juruterbang, menyebabkan lelaki itu terjatuh ke belakang.

Dua pramugari kemudian bergegas untuk menghentikan tindakan penumpang daripada menyerang juruterbang, dengan seorang kedengaran berkata: "Tuan, kamu tidak boleh melakukan ini!"

Seorang lagi penumpang memakai hoodie biru kelihatan menahan penumpang yang berang, menenangkannya dan berjalan bersamanya.

Indian Express melaporkan penumpang terbabit ditahan susulan aduan dibuat IndiGo.

Menurut polis, siasatan dijalankan dan lelaki itu mungkin dihukum kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, IndiGo juga membentuk jawatankuasa dalaman untuk menangani insiden itu dan mungkin mempertimbangkan untuk meletakkan nama penumpang terbabit pada senarai 'larangan terbang'.

Menurut laman web penerbangan Flightradar24, sekurang-kurangnya 168 penerbangan dijadualkan berlepas dari bandar ini ditangguhkan, manakala 56 yang lain dibatalkan pada pagi 15 Januari.

Selain perkhidmatan penerbangan, sekurang-kurangnya 18 kereta api ke bandar ini dari pelbagai kawasan di India juga tertangguh akibat kabus tebal.

Tiada ulasan: