"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kilang beras di Kedah didenda RM12,000 sorok bekalan, jual beras hancur

SITI NUR ZAWANI

Sebuah kilang beras di Kedah didenda RM12,000 atas dua kesalahan menjual 250kg beras gred hancur kepada pihak tidak berlesen dan menyimpan bekalan yang tidak direkodkan.

Ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Yan, defendan iaitu pihak Kilang Beras Seng Wor Sdn. Bhd mengaku bersalah atas kedua-dua kesalahan tersebut.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua ke atas Kilang Beras Seng Wor Sdn. Bhd.

Menerusi kenyataan akhbar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pendakwaan itu dilakukan susulan serbuan di premis perniagaan Kilang Beras Seng Wor Sdn. Bhd. pada 7 Oktober tahun lalu selepas mendapat aduan dari orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang berkenaan telah menjual sebanyak 5 guni berisi beras gred hancur berjumlah 250 kilogram kepada pihak yang tidak memiliki lesen pada 24 September 2023.

“Pemeriksaan yang dijalankan juga mendapati terdapat perselisihan kuantiti beras hancur dalam milikan berbanding penyata rekod stok yang diberikan oleh pengilang.

“Dalam perkara itu, pihak KPB Negeri Kedah telah bertindak merampas 10,593.70 kilogram beras hancur berkenaan,” katanya.

Sementara itu KPKM berkata, hasil rampasan bernilai RM25,000 akan dijadikan hasil kerajaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaan Kawalselia Padi dan Beras (KPB).

KPKM berkata, premis itu melakukan dua kesalahan iaitu di bawah Peraturan 9(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996 [PU(A) 624], iaitu tidak boleh menjual beras kepada mana-mana orang kecuali kepada pemegang Lesen Borong yang bukannya pengilang beras, pemegang lesen runcit, mana-mana orang bagi maksud pengilangan atau katering dan mana-mana pembekal beras di bawah kontrak.

Bagi kesalahan kedua, terdapat perselisihan kuantiti beras dengan maklumat yang diberikan melalui Penyata Deklarasi Stok Beras Dalam Milik/Kawalan di bawah Seksyen 7(1)(a).

Siasatan mendapati telah berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 8(2) Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta yang sama.

Tiada ulasan: