"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Houthi serang satu lagi kapal AS

AFP

Sanaa: Pemberontak Houthi Yaman, pada Jumaat, mendakwa melakukan serangan peluru berpandu ke atas sebuah kapal Amerika Syarikat (AS) di Teluk Aden.

Houthis berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial berkata, pasukan tentera lautnya menyerang kapal Chem Renjer, dengan beberapa peluru berpandu tentera laut.

Kenyataan berkenaan bagaimanapun tidak memberikan masa atau butiran lain untuk serangan terbaharu di laluan perkapalan antarabangsa itu.

Tindakan Houthi terhadap kapal di Laut Merah menyebabkan serangan tindak balas tentera AS dan United Kingdom (UK). AS sebelum ini melaporkan serangan terbarunya ke atas sasaran Houthi, pada Khamis lalu.

Syarikat pengurusan risiko maritim Britain, Ambrey berkata, Chem Ranger adalah kapal tangki kimia berbendera Kepulauan Marshall, milik AS.

"Tiada anak kapal terkorban atau kerosakan dilaporkan," kata pemantau itu.

Chem Renjer sedang belayar dari Jeddah di Arab Saudi ke Shuwaik di Kuwait apabila ia melaporkan wujud pergerakan mencurigakan oleh dron, kata Ambrey.

Menurutnya, satu dron jatuh di laut kira-kira 30 meter dari kapal tangki itu, tambahnya.

"Sebuah kapal perang India bertindak balas terhadap peristiwa itu," katanya.

Houthi secara beransur-ansur meningkatkan serangan ke atas kapal di Laut Merah, sejak perang ke atas Gaza meletus pada 7 Oktober lalu.

Kenyataan Houthi berkata, pihaknya menentang penindasan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan bertindak balas terhadap serangan AS dan UK.

Ketika AS mengumumkan serangan terbarunya ke atas Houthi pada Khamis, Presiden Joe Biden berkata, tindakan itu akan diteruskan sehingga pemberontak yang disokong Iran berhenti menyasarkan kapal di Laut Merah.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby memberitahu pemberita, tentera AS melancarkan beberapa peluru berpandu antikapal.

Beberapa firma perkapalan utama sudah tidak melalui teluk itu berikutan laporan serangan di perairan berkenaan.

Tiada ulasan: