"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kapal angkasa bawa abu mayat, DNA JFK ke Bulan terhempas pagi tadi

KOSMO!
Kemasukan Peregrine ke atmosfera Bumi menjadi keutamaan selepas misi gagal. - ULA/PA
WASHINGTON – Sebuah kapal angkasa yang berlepas ke Bulan bersama abu mayat lebih 70 individu lain pada minggu lepas telah berpatah balik dan memasuki atmosfera Bumi pagi tadi.

Akhbar Metro UK melaporkan, kapal angkasa Peregrine Mission One (PM1) yang dibina oleh syarikat Astrobotic itu dilaporkan mengalami kebocoran bahan api  selepas dilancarkan pada 8 Januari lalu.

Pasukan jurutera berjaya menstabilkan kapal angkasa tersebut secara kawalan jauh dari pusat pelancaran, namun kebocoran yang dialami menghalang pendaratan selamat dilakukan di permukaan Bulan.

Syarikat Astrobotic berkata, kemasukan semula ke Bumi menjadi keutamaan pihaknya. Kapal angkasa Peregrine jatuh di lokasi terpencil di perairan Pasifik Selatan sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) atau jam 5 pagi tadi (waktu Malaysia).

Apabila ia memasuki atmosfera Bumi, Peregrine bergerak pada kelajuan 27,358 kilometer sejam sebelum terbakar dan hancur.

Sebarang sisa serpihan akan berakhir di Lautan Pasifik. Daripada terapung menjadi sampah angkasa dan menjadi punca kemalangan kapal angkasa lain, Peregrine sebaliknya dilupuskan dengan selamat.

Kapal angkasa Peregrine dilaporkan membawa sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F Kennedy (JFK) bersama abu mayat berpuluh-puluh individu lain.

Ia sepatutnya mendarat di Bulan pada 23 Februari ini selepas dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida. – AGENSI

Tiada ulasan: