"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki rakam aksi seks dengan 20 wanita, jual video lucah kena tahan

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki tempatan yang menjalankan aktiviti menjual video lucahnya melakukan hubungan seks dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial, ditahan di Janda Baik, Pahang, petang semalam.

Suspek berusia 31 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada 2.30 petang.

Dalam serbuan sama, polis menahan dua teman wanitanya berusia 23 dan 27 tahun di rumah yang turut didiami oleh bapa lelaki terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata suspek lelaki itu dikesan melalui hasil maklumat dan risikan JSJ Bukit Aman mengenai kegiatan mempromosikan aktiviti seks dirinya sendiri yang dirakam dan dijual untuk tontonan di platform Telegram.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek utama yang pernah dua kali berkahwin dan bercerai memulakan aktiviti menjual dan mempromosikan ubat kuat seks dari China menerusi platform media sosial, sejak awal tahun lalu.

"Demi mengaut keuntungan lebih tinggi, suspek kemudian mempelajari cara baharu merakam video dia melakukan hubungan seks ganas dengan teman wanitanya sebelum menjual adegan berkenaan dalam tiga saluran di aplikasi Telegram, sejak Julai tahun lalu.

"Tidak hanya teman wanita, suspek juga yang disyaki mempunyai latar belakang seorang gigolo atau lelaki upahan, turut meniduri sebahagian pelanggan wanita dalam saluran aplikasi Telegram berkenaan," katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengajak pelanggan melanggan menerusi pautan promosi yang diiklankan dalam aplikasi Telegram oleh suspek sebelum urusan pembayaran dipersetujui.

"Selepas pembayaran dibuat, suspek akan menghantar pautan kepada pelanggan untuk terus menonton video lucah yang dilakonkan dan dirakam suspek sendiri.

"Siasatan juga mendapati setakat kelmarin (16 Januari) suspek mempunyai 2,051 pelanggan untuk pakej 200 video dengan bayaran RM100 dan 622 pelanggan untuk pakej RM20 sebulan bagi 13 video.

"Semua pelanggan aplikasi ini adalah rakyat Malaysia daripada golongan lelaki miang dan wanita kesunyian yang memiliki kerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, usahawan dan sektor korporat," katanya.

Beliau berkata, ada antara wanita terbabit yang mempunyai keinginan meniduri suspek turut ditawarkan syarat supaya hubungan intim dirakam untuk jualan seterusnya.

"Pada masa ini suspek dan dua teman wanitanya yang ditahan turut dikesan melakonkan aksi lucah dalam video seks yang dijual selain berusaha mengesan wanita lain yang turut terbabit dalam puluhan rakaman video yang dikesan.

"Polis menemui semua aksi rakaman suspek melalui rampasan lima telefon bimbit milik suspek dan dua teman wanitanya. selain dua kad ATM yang digunakan sebagai akaun langganan," katanya.

Pagi tadi, suspek bersama dua teman wanitanya dibenarkan ditahan reman selama lima hari oleh Mahkamah Sesyen Jalan Duta, di sini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan boleh dihukum penjara 19 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Mohd Shuhaily berkata, kes seperti ini adalah yang pertama kali dikesan berlaku di negara ini dan harus dibanteras secara besar-besaran kerana dikhuatiri boleh menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat.

Tiada ulasan: