Malaysiakini
PAS mendedahkan beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama Umno untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata pertemuan itu dibuat secara tidak formal namun tidak mendedahkan pemimpin Umno tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Menurutnya, pemimpin utama Umno tersebut meluahkan 'rasa serba salah' bekerjasama dengan Kerajaan perpaduan yang didakwa merugikan Umna.
“Ia perbincangan itu ada dan ia bukan satu gerakan, tetapi lebih kepada harapan. Ia membabitkan pemimpin utama. Dan dalam pertemuan itu, mereka mengharapkan agar kerjasama bersama dengan PAS dapat bersatu kembali, cuma mereka tidak berani ingin melawan apa yang diputuskan Presiden Umno.
“Malah, mereka juga berharap Presiden Umno berubah sikap kerana perubahan, visi misi yang cuba dibawa oleh Presiden Umno itu tidak sampai ke peringkat bawah, ini luahan mereka termasuk kepada saya sendiri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, tiada jaminan parti itu akan bekerjasama mana-mana gabungan politik bagi berdepan PRU16.
Ini kerana tegasnya, Umno hanya terikat dengan perjanjian untuk menguruskan negara bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang mantap selepas PRU15.
Malah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Jalaluddin Alias turut mengakui kerjasama antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan hari ini baik di peringkat Persekutuan tetapi keadaan itu berbeza di peringkat negeri.
Kata Ahmad Fadhli lagi, daripada luahan tersebut, beliau yakin ramai pemimpin Umno mulai sedar akan kerjasama yang dibina bersama dengan PH tidak diterima orang Melayu, akhirnya parti itu dikhuatiri tewas dalam PRU-16 nanti.
“Sebab itu saya tidak kata mereka menyesal dengan kerjasama yang dibina bersama PH, tetapi lebih kepada serba salah. Rasa serba salah itu sebab Umno akan terpahat dalam sejarah sebagai orang yang mendukung PH untuk berada di puncak kuasa yang ada pada hari ini.
“Dalam keadaan ini, saya melihat UMNO sudah mula sedar apabila Timbalan Presidennya sendiri kata tiada jaminan Umno mahu kerjasama dengan siapa. Namun seperti saya katakan tadi, akhirnya yang tentukan kata putus adalah Presiden Umno,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, PAS tiada masalah dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, malah sedia menghulurkan tangan jika beliau ingin bekerjasama dengan parti Islam tersebut.
“ Kita bukan tidak suka orangnya, tetapi kita tidak suka sikapnya, itu sahaja. Kalau hari ini beliau (Ahmad Zahid) kata ingin bekerjasama dengan Pas, kalau sebut pukul 12..pukul 10 lagi kita sudah buka pintu. Kita bincang dan perkukuhkan kembali,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Umno dan PAS membentuk kerjasama menerusi Muafakat Nasional pada 14 September 2019 ketika kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.
Bagaimanapun Muafakat Nasional tidak bertahan lama apabila Bersatu berpihak kepada Muafakat Nasional selepas keluar daripada gabungan PH pada 2020 dan membentuk kerajaan.
Pada 13 Oktober 2022, PAS menyatakan pendirian kekal bersama PN dalam menghadapi PRU15 selepas Ahmad Zahid memberi kata dua kepada parti itu untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan