"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peminat pertikai jenazah suami pelakon dibakar

Malaysiakini 

Kisah jenazah suami kepada pelakon Indonesia, Jennifer Coppen, Yitta Dali Wassink yang sudah menjadi mualaf tetapi melalui adat pembakaran mayat tular sejak malam tadi hingga menuai polemik di media sosial.

Rata-rata pengguna media sosial mempertikaikan mengapa keluarga isteri tidak mempertahankan jenazah Dali yang berketurunan Thailand dan Belanda itu daripada dibakar sedangkan dia sudah memeluk agama Islam.

“Kasihan, sebab arwah sudah masuk Islam, patut keluarga arwah kenalah hormati agamanya. Tapi nak juga dikebumi ikut agama asal. Memang kejam, tidak boleh terima cara keluarga arwah,” kata pengguna akaun @sary.

Bukan setakat itu, terdapat segelintir yang mempertikaikan mengapa agamawan di negara itu seolah-olah tidak masuk campur urusan pengebumian orang Muslim.

“Sayangnya, sedangkan mereka ada agamawan yang disanjung tapi tidak mampu menegur orang popular begini,” kata pengguna akaun @AuliyaKedit.

Keputusan pembakaran mayat dipercayai dibuat atas permintaan keluarga lelaki. Proses itu dilakukan di Krematorium Kertha Semadi, Kuta Selatan, Badung, Bali malam tadi.

Untuk rekod, Dali yang tidak mempunyai keturunan darah Indonesia menukar agamanya sebulan sebelum dia melangsungkan pernikahan dengan Jennifer, iaitu pada September 2023.

Justeru, atas alasan itulah jenazah pemuda berusia 22 tahun itu dibayangkan akan dikebumikan mengikut tradisi Islam kerana dia seorang Muslim.

Dali meninggal dunia selepas terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Sunset Road, Seminyak, Daerah Badung, Bali, pada 18 Julai lalu.

Jennifer pula berbapakan orang Belanda, Richardo Benito Eduwardo Coppen dan ibunya Hotimah Imaniar.

Pelakon Habibie dan Ainun 3 itu mengundang reaksi yang pelbagai selepas mengumumkan kehamilannya pada 14 Mei tahun lalu kerana mengandung sebelum bernikah.

Terdahulu, Jennifer sempat memberikan penghormatan terakhir kepada arwah suami ketika berada di rumah pengebumian.

“Tidurlah dengan tenang. Ini sangat menyakitkan, tapi aku cuba kuat untuk mu, untuk keluarga dan untuk puterimu. Terbanglah tinggi, berbahagialah di atas sana,” katanya.

Turut tular di TikTok rakaman klip video memaparkan Jennifer pengsan selepas menekan tombol bagi memulakan pembakaran mayat suaminya sebelum dia dipapah keluar oleh beberapa individu.

Jennifer menangis teresak-esak di samping keranda jenazah suami sepanjang proses penghormatan terakhir dilakukan anggota keluarganya.

Tiada ulasan: