Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
MOHD Ahzan bersama Norhayati dan anaknya. Gambar kanan, kecederaan yang dialami Mohd Ahzan. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Atas dasar simpati, anak meminjamkan RM300 yang sepatutnya digunakan untuk membeli susu cucu kepada rakannya, malangnya kerana menuntut hutang itu, dia dipukul hingga retak tempurung kepala," kata Norhayati A Razak, 53.
Norhayati memberi reaksi itu ketika menceritakan kejadian malang menimpa anak sulungnya, Mohd Ahzan Husni, 35, yang parah dipukul sekumpulan lelaki hanya kerana menagih hutang yang gagal dilunaskan pada tarikh seperti dijanjikan.
Kejadian berlaku jam 5.10 petang pada 15 Julai lalu di Jalan Cendana, Kampung Setanggi, di sini, ketika Mohd Ahzan menuntut kembali wang yang dipinjamkan kepada rakannya, menyebabkan lelaki itu marah dan mengerahkan enam lelaki lain untuk menyerangnya.
Norhayati berkata, dia sudah menasihati anaknya itu supaya tidak meminjamkan wang kerana itu saja wang dimiliki bagi kegunaan anak, namun dia percaya dengan rakannya.
"Apabila dia menuntut wang, ia mencetuskan kemarahan rakannya hingga menyumbang kejadian," katanya ketika ditemui hari ini, selepas menerima kunjungan Wanita Ikon Johor merangkap Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia Faridah Hamzah.
Bercerita lanjut, Norhayati berkata, pada hari kejadian, ketika ahli keluarganya hendak keluar rumah, mereka mendengar jeritan Mohd Ahzan meminta tolong dan mendapati enam lelaki termasuk yang bertopeng memukulnya dengan cota besi dan topi keledar.
"Ahli keluarga saya cuba meleraikan pergaduhan namun turut dibelasah oleh kumpulan lelaki itu. Ketika itu Mohd Ahzan berlumuran darah terutama di bahagian kiri wajahnya.
"Kumpulan lelaki itu kemudian melarikan diri. Ahli keluarga membawa Mohd Ahzan ke Hospital Sultanah Aminah dan membuat laporan di Balai Polis Majidee pada 16 Julai lalu," katanya.
Menurutnya, Mohd Ahzan terpaksa menjalani beberapa pembedahan termasuk mengeluarkan tempurung kepala yang retak, selain urat kepalanya bengkak dan daya penglihatan mata kirinya juga terjejas.
"Buat masa ini tempurung kepalanya masih tidak dapat dipasang atas faktor tertentu dan doktor meramalkan tempoh penyembuhan Mohd Ahzan yang paling cepat antara enam hingga setahun, paling lama antara setahun hingga empat tahun.
"Dia hanya mengingati saya dan tidak mengenali bapanya mahupun anaknya. Sejak berpisah dengan isteri lebih setahun lalu, anaknya di bawah penjagaan Mohd Ahzan," katanya.
Norhayati berkata, dia buntu memikirkan masa depan Mohd Ahzan, selain tiga cucu iaitu seorang perempuan serta dua lelaki.
"Kesemua anaknya masih memerlukan bekalan susu selain lampin pakai buang dan kini keluarga juga memerlukan kewangan bagi mengurus Mohd Ahzan," katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan kejadian dan menyatakan tangkapan sudah dilakukan terhadap suspek yang terbabit dalam serangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan