Bernama
Seorang wanita sesak nafas dalam kejadian sebuah asrama terbakar di Bandar Puchong Jaya.
Seorang wanita sesak nafas manakala 13 individu berjaya selamatkan diri dalam kejadian asrama terbakar di Puchong Jaya petang tadi. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengalami sesak nafas manakala 13 individu lagi berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan sebuah asrama di bangunan premis perniagaan di Bandar Puchong Jaya, Selangor, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran pada 2 petang, dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota bergerak ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah asrama yang terbakar 100% dan terdapat seorang wanita berusia 36 tahun yang mengalami sesak nafas.
Pasukan menjalankan kerja pemadaman dan terdapat dua kereta jenis Mercedes serta Toyota Prius yang berada di bawah bangunan turut mengalami kerosakan sebanyak 5%, katanya dalam kenyataan.
Mukhlis berkata mangsa yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lima wanita berusia antara 16 hingga 65 tahun itu dipercayai menyewa bilik di asrama berkenaan.
Mangsa yang sesak nafas diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan