"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

8 penguat kuasa PBT masuk jerat SPRM

Wartawan BH
bhnews@bh.com.my
Anggota penguat kuasa PBT (tangan digari) diiringi pegawai SPRM berpakaian preman selepas ditahan hari ini.
Anggota penguat kuasa PBT (tangan digari) diiringi pegawai SPRM berpakaian preman selepas ditahan hari ini.
KUALA LUMPUR: Lapan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, kerana disyaki menerima wang suapan secara bulanan.

Mereka dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan hampir RM12,000 daripada premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen 'Ali Baba' di ibu negara.

Anggota penguat kuasa ditahan itu bertugas di pejabat PBT yang terletak berhampiran sebuah pasar harian di ibu negara.

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan di sekitar ibu negara, dalam operasi khas Op Orange oleh SPRM Kuala Lumpur bermula jam 8.30 hingga 11 pagi tadi.

Katanya, operasi yang dijalankan hari ini adalah hasil risikan dijalankan SPRM sejak enam bulan lalu.

"Kesemua penguat kuasa yang ditahan ini disyaki melindungi premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

"Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis-premis berkenaan.

"Premis bukan sahaja menggunakan lesen 'Ali Baba', malah melakukan kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja selain beroperasi menggunakan lesen yang berbeza," katanya.

Susulan tangkapan kesemua suspek terbabit, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM40,000 yang dipercayai hasil kegiatan haram mereka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok, bagi proses permohonan reman.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.

Rabu lalu, SPRM menahan lapan individu yang disyaki merasuah anggota pengguat kuasa bagi mengelak tindakan diambil terhadap premis mereka yang menggaji warga asing serta beroperasi menggunakan lesen 'Ali Baba'.

Enam daripada mereka didakwa di mahkamah dan dikenakan denda antara RM6,000 hingga RM10,000.

Tiada ulasan: