"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengkhianat jilake: Petualang ali baba kutip antara 200 hingga 1,000 sebulan

Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor
am@hmetro.com.my
ANTARA anggota penguat kuasa  di sebuah pasar harian di Selayang yang ditahan SPRM. FOTO Asyraf Hamzah
ANTARA anggota penguat kuasa di sebuah pasar harian di Selayang yang ditahan SPRM. FOTO Asyraf Hamzah
Kuala Lumpur: Kutip wang bulanan bagi melindungi premis yang menggunakan lesen ali baba di sekitar ibu kota.

Itu kegiatan lapan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menjadi 'petualang' negara selepas disyaki menutup mata dan gagal mengambil tindakan terhadap premis menggunakan lesen ali baba serta menggajikan warga asing.

Kegiatan mereka berjaya dihidu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur selepas menahan semua individu berkenaan menerusi Op Orange, hari ini.

Semua suspek membabitkan lapan lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an di tahan di sekitar ibu negara.

Operasi selama tujuh jam bermula 8 pagi itu dijalankan pegawai dan anggota SPRM Kuala Lumpur.

Tindakan diambil susulan pendedahan eksklusif Harian Metro bermula 7 Jun lalu di muka depan bertajuk 'Wang Ekspres' dan 'Ali Baba Kebal' yang disiarkan pada 16 Julai lalu mendedahkan warga asing mendominasi perniagaan di Lembah Klang dan berselindung di sebalik lesen warga tempatan.

Menurut sumber, hasil risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM sejak enam bulan lalu mendapati mereka menerima wang rasuah kira-kira RM12,000 daripada pemilik premis.

"Semua penguat kuasa yang ditahan ini disyaki melindungi premis-premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

"Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis berkenaan yang bukan sahaja menggunakan lesen ali baba, sebaliknya kerana kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja selain beroperasi menggunakan lesen yang berbeza," katanya.

Menurut sumber itu lagi, susulan tangkapan terhadap kesemua suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM40,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok bagi proses reman.

Wartawan yang turut mengikuti operasi tangkapan terbabit di Pasar Harian Selayang mendapati individu berkenaan bertugas sebagai penguat kuasa dan gagal menjalankan pemeriksaan terhadap premis terbabit.

Tiada ulasan: