"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga anggota polis termasuk ASP didakwa membunuh

Hamzah Osman
bhnews@bh.com.my

LANGKAWI: Tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat Asisten Superintendan (ASP) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, Januari lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas ASP Azhar Mohamad Amir, 45; Koperal Shahril Firdaus Solleh, 36, dan Koperal Mohd Shaharri Shah Mat Saad, 36, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, didakwa secara bersama membunuh Mohamad Hafiz Salleh, 32.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat operasi BSJN, IPD Langkawi antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 29 Januari lalu.

Berikutan itu, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau dipenjara minimum 30 tahun atau minimum 12 sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menerima permohonan pendakwaan tidak membenarkan ikat jamin terhadap semua tertuduh dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Awal Februari lalu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan anggota polis dilihat menggunakan kekerasan ketika menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Ayer Hangat, di sini.

Lelaki terbabit yang dikenali Mohamad Hafiz menghembuskan nafas terakhirnya pada 1 Februari lalu selepas dua hari bertarung nyawa ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.

Tiada ulasan: