"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh teman wanita: Hukuman penjara warga Bangladesh kekal

Bernama

Mahkamah tolak rayuan seorang lelaki untuk mengurangkan hukuman penjara 35 tahun.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak rayuan seorang lelaki warga Bangladesh untuk mengurangkan hukuman penjara 35 tahun, yang dijatuhkan bagi kesalahan membunuh teman wanitanya seorang warga Filipina.

Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Harmindar Singh Dhaliwal dan Abdul Karim Abdul Jalil turut mengekalkan hukuman 12 sebatan yang dijatuhi ke atas Md Masud Rana.

Tiada merit dalam rayuan ini. Kami mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan tidak keterlaluan dan memadai, kata Abang Iskandar.

Pada 27 Sept 2023, Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati ke atas Md Masud dengan penjara 35 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Condo Liezyl Ponce di bilik sewa di Jalan Beladau 26, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor antara 4 pagi hingga 6.40 pagi 23 Dis 2016.

Terdahulu, peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon berhujah bahawa pembunuhan itu berlaku selepas pergaduhan tertuduh dengan mangsa dan menyifatkan ia sebagai jenayah akibat cinta yang didorong oleh perasaan cemburu serta alkohol.

Bustaman berhujah hukuman penjara yang dijatuhkan adalah keterlaluan dan pembunuhan itu sesuatu yang tidak dirancang.

Timbalan Pendakwa Raya Zulkpli Abdullah pula berhujah hukuman penjara 35 tahun wajar kerana jenayah yang dilakukan adalah begitu kejam dan mangsa mengalami 40 luka akibat ditoreh serta tujuh tetakan di bahagian kepala yang menembusi tengkorak.

Rayuan terhadap hukuman ini mengingatkan saya kepada pepatah Melayu iaitu diberi betis hendak peha, kata beliau sambil menambah Masud sepatutnya bersyukur kerana hukuman mati terhadapnya digantikan dengan pemenjaraan.

Masud, seorang buruh berusia 40 tahun, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Okt 2019 kerana membunuh teman wanitanya yang berumur 28 tahun.

Sebelum ini, dia menarik balik rayuan terhadap sabitan namun meneruskan rayuan terhadap hukuman mati susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori pada tahun lepas yang memberikan kuasa budi bicara kepada mahkamah sama ada mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan tidak kurang daripada 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun.

Pada 27 Sept tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati terhadap Masud dan menggantikannya dengan pemenjaraan bagi tempoh 35 tahun dan 12 sebatan.

Tiada ulasan: